Polis menegaskan setakat ini tiada arahan perintah berkurung dikeluarkan oleh kerajaan berikutan COVID-19.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pihaknya mengesan terdapat individu tertentu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu mengenai perkara tersebut.

"Berita palsu ini ditularkan menerusi media sosial dan telah dikongsi oleh netizen sehingga menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di daerah Petaling Jaya menjadi panik.

BACA: COVID-19: 125 lagi kes dikesan, kes keseluruhan 553

"Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, orang ramai telah mula menyerbu premis perniagaan dan membuat pembelian barang keperluan dalam jumlah yang banyak sebagai persiapan awal," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata orang ramai diminta untuk sentiasa membuat semakan menerusi agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Orang ramai juga boleh hubungi balai polis berdekatan untuk mendapatkan pengesahan," jelasnya.