Skip to main content

Politik

PRN Melaka: BN sasar bawa 'Gelombang Biru' ke Melaka – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata beliau melihat sendiri semangat dan kesiapsiagaan jentera parti ketika bertemu keluarga besar UMNO Bahagian Jasin malam tadi. - Foto FB Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berkata beliau melihat sendiri semangat dan kesiapsiagaan jentera parti ketika bertemu keluarga besar UMNO Bahagian Jasin malam tadi. - Foto FB Zahid Hamidi

Advertisement

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji kesiapsiagaan jentera UMNO Bahagian Jasin sebagai petanda positif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
  • Beliau menekankan kepentingan kesepaduan semua peringkat kepimpinan dan menyeru jentera BN Melaka bergerak dengan satu tekad menghadapi PRN.
  • PRN Melaka dijadualkan pada 14 November, dengan BN sebelum ini memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka 2021.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kesiapsiagaan jentera UMNO Bahagian Jasin sebagai petanda positif dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi kenyataan di Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau melihat sendiri semangat dan kesiapsiagaan jentera parti ketika bertemu keluarga besar UMNO Bahagian Jasin malam tadi.

Beliau berkata kekuatan parti bergantung kepada kesepaduan semua peringkat kepimpinan, termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, pimpinan bahagian serta generasi lama dan baharu.

Menurutnya, jentera parti perlu menyusun gerak kerja dengan baik, merapatkan saf dan terus mendekati akar umbi bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Pesan saya buat seluruh jentera, susunlah gerak kerja dengan baik, rapatkan saf dan sentiasa turun menyantuni akar umbi kerana kemenangan tidak datang bergolek. Ia memerlukan kerja keras untuk menambat hati rakyat Jasin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera BN di Melaka supaya bergerak dengan satu tekad menjelang PRN negeri itu.

Beliau turut merujuk pengalaman BN menghadapi pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini sebagai sebahagian daripada persiapan parti untuk membawa apa yang disifatkannya sebagai “Gelombang Biru” ke Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka, dengan penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Must Watch Video

Advertisement