Ringkasan AI
- Seorang wanita dikenali sebagai ‘Ratu Balqis’ didenda RM5,000 dan penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah atas penyebaran ajaran sesat.
- Dua individu bersubahat turut menerima hukuman sama, dengan tambahan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.
- Pihak berkuasa agama Johor akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah di negeri itu.
JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang sebelum ini tular menyebarkan ajaran sesat menggunakan nama ‘Ratu Balqis’ masing-masing didenda RM5,000 dan penjara 12 bulan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Dua lagi individu yang didapati bersubahat dengan wanita berkenaan, sebelum ini turut dijatuhi hukuman yang sama pada Khamis.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara tambahan lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tertuduh pertama mengaku bersalah di bawah Seksyen 4 (doktrin palsu) dan Seksyen 6(b) (dakwaan palsu).
"Dua lagi tertuduh, masing-masing dituduh bersubahat di bawah Seksyen 43(b) dan Seksyen 43(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 (Enakmen No. 4 Tahun 1997) berkaitan kesalahan yang sama.
“Kes ini memperlihatkan keseriusan kesalahan berkaitan penyebaran doktrin palsu dan dakwaan palsu khususnya apabila melibatkan kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pihak berkuasa agama Johor akan terus memperkukuh dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah serta memastikan tindakan diambil mengikut undang-undang.
Pada Ogos lalu, wanita sama turut dihukum 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat hantaran palsu dan jelik melampau di media sosial. -- Sinar Harian