Malaysia akan terus menyokong multilateralisme meskipun retorik anti-globalisasi yang tersebar luas di beberapa tempat di dunia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata ia merupakan satu cara bagi negara, yang mengamalkan ekonomi terbuka dengan pasaran domestik yang agak kecil, untuk menangani cabaran semasa global dan memastikan pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang.
"Malaysia terus pragmatik dalam pembabitannya dengan negara seluruh dunia. Kita akan terus menyokong sistem pelbagai hala dan fahaman serantau terbuka," katanya pada forum sulung Asia Business First Forum, di sini, pada Selasa.
Mustapa berkata perjanjian perdagangan, sama ada dua hala atau pelbagai hala, penting bagi negara, yang mana sebab itulah Malaysia, bersama dengan 10 anggota lain Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), masih mencari pilihan untuk melaksanakan perjanjian tersebut, tanpa Amerika Syarikat.
"Malaysia tetap terbuka untuk berbincang dengan lebih lanjut dan menjangka satu keputusan mengenai masa depan TPP akan dibuat semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Danang, Vietnam, lewat tahun ini," katanya.
Beliau yang menyatakan perdagangan Malaysia dijangka berkembang sebanyak lima peratus tahun ini menambah, kunci untuk berjaya ialah sokongan padu negara terhadap penyepaduan ekonomi serantau di ASEAN dan pelbagai manfaat yang dijana daripada Komuniti Ekonomi ASEAN.
Menurutnya, Malaysia telah meraih banyak manfaat, seperti yang dibuktikan daripada perdagangan negara tahun lepas dengan ASEAN yang menyumbang 28 peratus atau RM403 bilion.
Eksport ke ASEAN berjumlah 29 peratus daripada keseluruhan eksport negara manakala import dari ASEAN menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan import.
"Perkumpulan serantau ini telah membawa banyak manfaat kepada Malaysia dan anggota lain, menerusi integrasi ekonomi, politik dan sosio budaya yang lebih rapat," katanya.
Mustapa berkata ASEAN juga sedang mengusahakan untuk merundingkan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia menerusi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan mewujudkan pasaran bersepadu terbesar dengan 3.5 bilion penduduk.
"Dengan nasib TPP masih belum diketahui, kejayaan memuktamadkan RCEP merupakan yang paling penting bagi masa depan perdagangan dan pertumbuhan rantau ini," katanya.
Mustapa berkata satu lagi faktor yang menyumbang kepada ekonomi berdaya tahan ialah keupayaan negara untuk mewujudkan lebih banyak syarikat yang kompetitif di peringkat dunia.
"Malaysia kini merupakan pengeksport bersih modal - pelaburan langsung kita di luar negara pada akhir suku kedua tahun ini berjumlah RM574 bilion berbanding pelaburan langsung asing RM557 bilion.
"Ini menunjukkan bahawa syarikat Malaysia mempunyai kehadiran global yang kukuh," katanya sambil menambah lebih 1,000 syarikat Malaysia aktif dengan pelaburan di luar negara.
Beliau berkata kejayaan Malaysia mengharungi tempoh mencabar ketika ini juga sebahagiannya disebabkan oleh kepelbagaian ekonomi dan struktur eksport negara.
"Perkara ini perlu sentiasa ditekankan kerana kita merupakan satu daripada antara negara paling berjaya di dunia dalam mentransformasikan landskap sosio-ekonomi Malaysia dalam tempoh 60 tahun lepas," katanya.
Selain itu, kejayaan Malaysia adalah disebabkan oleh proses perancangan bersistematiknya dan jentera pelaksanaan yang efektif, menerusi pelan pembangunan lima tahun dan petunjuk prestasi utama memantau mekanisme yang dilaksanakan sejak negara memulakan transformasi ekonominya kira-kira tujuh tahun lalu.
Mustapa berkata tumpuan Malaysia terhadap pembangunan prasarana terutamanya dalam tempoh tiga dekad lepas, menjadikan negara sebuah negara yang terhubung ke seluruh dunia dan memudahkan perniagaan domestik.
"Sistem transit aliran berkapasiti tinggi (MRT), Lebuh Raya Pan-Borneo, Laluan Rel Pantai Timur dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi akan meningkatkan lagi hubungan dan menjadikan Malaysia malahan lebih menarik untuk perdagangan dan pelaburan," katanya.
Forum itu yang bertemakan, "Malaysia's Key to Success" (Kunci Kejayaan Malaysia), mengumpulkan lebih 150 ketua pegawai eksekutif, pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan dan ketua industri dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Aug 22 2017
Menurut Mustapa (gambar), Malaysia telah meraih banyak manfaat daripada Komuniti Ekonomi ASEAN, seperti yang dibuktikan daripada perdagangan negara tahun lepas dengan ASEAN yang menyumbang 28 peratus atau RM403 bilion. - Gambar fail
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
Malaysia akan terus menyokong multilateralisme - Mustapa
Ia satu cara bagi negara, yang mengamalkan ekonomi terbuka dengan pasaran domestik yang agak kecil, untuk menangani cabaran semasa global dan memastikan pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang.