KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia hari ini menyatakan komitmen terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara (FDPA) sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.

Komitmen itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJD) ke-3 di Kementerian Pertahanan pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Kementerian Pertahanan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles itu turut membincangkan mengenai kepentingan keselamatan serantau.

"Kedua-dua menteri menyatakan komitmen mereka terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara, atau Five Powers Defence Arrangements (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.

"Berpandukan prinsip aturan ini, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara ahli," jelas kenyataan itu.

Kedua-dua wakil negara turut mengesahkan komitmen dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

"TYT Timbalan Perdana Menteri Australia dan YB Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN (ASEAN centrality) dalam arkitektur keselamatan serantau, termasuklah ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus Experts’ Working Group (ADMM PLUS EWG).

"Kedua-dua menteri mengambil maklum kepentingan ASEAN Outlook on the IndoPacific, Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) dan Treaty on the Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ).

"TYT Timbalan Perdana Menteri Australia dan YB Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan komitmen untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau," jelas kenyataan itu lagi.

Malaysia dan Australia juga komited bekerjasama rapat dalam menangani cabaran keselamatan dengan menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa termasuk kebebasan navigasi dan penerbangan.

"Kedua-dua menteri menyatakan komitmen terhadap United Nations Convention on The Law of the Sea 1982 sebagai rangka kerja perundangan komprehensif untuk segala aktiviti maritim.

"TYT Timbalan Perdana Menteri Australia merakamkan penghargaan terhadap hospitaliti yang diterima sepanjang lawatan rasmi beliau dan mengalu-alukan YB Menteri Pertahanan untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang berikutnya di Australia," kata kenyataan itu lagi.