KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melaksanakan ujian percubaan klinikal pertama ke atas manusia tidak lama lagi susulan kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) awal bulan lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, para peringkat awal, ujian berkenaan akan dilakukan di Hospital Umum Sarawak melibatkan pesakit onkologi, sementara satu lagi pusat penyelidikan bagi disiplin itu akan dilaksanakan di Hospital Ampang.

Beliau memberitahu, ujian percubaan klinikal yang pertama itu adalah penting dalam pembangunan dan kemajuan keupayaan kesihatan fasa awal negara.

"Keupayaan untuk menjalankan kajian ini memberi peluang kepada mereka yang berada di barisan hadapan pembangunan perubatan untuk menyumbang kepada sains perubatan menerusi penyelidikan klinikal yang berkualiti.

"Dengan adanya fasiliti dan disiplin ujian percubaan klinikal ke atas manusia di negara ini, ia berupaya menggalakkan lebih banyak penyelidikan dibuat serta menarik minat syarikat berkaitan memperkenalkan rawatan menggunakan kaedah itu pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2023, di sini, pada Khamis.

Dr Zaliha yakin Malaysia bakal mengorak satu langkah ke hadapan dalam industri penyelidikan klinikal, seterusnya memberi impak signifikan kepada kesihatan global.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof berkata, memandangkan ia merupakan percubaan pertama di Malaysia, pihaknya hanya menjangkakan 25 hingga 30 sukarelawan mengambil bahagian dalam ujian klinikal berkenaan.

"Ujian klinikal seumpama ini akan melalui pemantauan yang ketat termasuk melibatkan Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan dan NPRA," jelasnya.

Ditanya mengenai persediaan, Dr Akhmal  memberitahu, Malaysia mengambil masa lebih 10 tahun untuk merealisasikan impian itu.

"Ia dilakukan secara berperingkat di mana kita menghantar pakar-pakar kita ke luar negara seperti ke pusat yang lebih tersohor, Princess Margaret Cancer Centre di Toronto bagi tujuan pembelajaran, dan akhirnya kini kita sudahpun bersedia," ujarnya.