MALAYSIA
Malaysia bawa isu penindasan rakyat Palestin ke Persidangan Speaker Parlimen Sedunia

Johari (foto) dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi Debat Umum bertemakan "Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua" pada 29 Julai. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan mengulangi pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin ketika menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia Keenam, bermula hari ini hingga 31 Julai ini, di Palais des Nations, Geneva.
Ringkasan AI
- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan menyuarakan pendirian Malaysia terhadap penindasan rakyat Palestin dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia Keenam di Geneva.
- Beliau akan menyampaikan ucapan bertemakan kerjasama parlimen dan multilateralisme demi keamanan, keadilan dan kemakmuran, serta menyeru agar Parlimen dunia tidak berdiam diri terhadap pelanggaran prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
- Johari turut dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin legislatif dunia bagi memperkukuh Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, serta membawa suara ASEAN sebagai blok yang menyokong penyelesaian damai.
"Beliau juga akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan menyeru agar Parlimen-Parlimen dunia tidak terus membisu apabila prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dilanggar," menurut kenyataan itu.
Persidangan anjuran bersama Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menghimpunkan lebih 110 Speaker Parlimen dari seluruh dunia.
Pada tahun ini, para pemimpin legislatif dijangka berinteraksi secara langsung dengan ketua-ketua organisasi antarabangsa, tokoh akademik, masyarakat sivil dan pihak media, menjadikan forum itu sebagai wadah strategik bagi menyelaras tindakan kolektif ke arah keamanan, keadilan dan kemakmuran sejagat.
Dalam pada itu, Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dijadual mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin legislatif dunia termasuk wakil dari Republik Islam Iran untuk membincangkan usaha memperkukuh Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa demi menjamin keamanan dan keselamatan.
"Dialog antara-parlimen ini adalah platform penting untuk membina saluran komunikasi terbuka ke arah penyelesaian yang damai berlandaskan Piagam PBB.
"Selaku Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia kekal konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan rakyat Palestin dan akan terus membawa suara rantau ASEAN di peringkat antarabangsa sebagai blok yang mendukung keamanan dan dialog dan penyelesaian secara damai berlandaskan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami