Skip to main content

Malaysia

Malaysia belum putuskan cukai karbon sektor penerbangan - Anthony Loke

Sumber: BERNAMA
Anthony berkata, Malaysia akan mengambil pendekatan secara berperingkat dalam melaksanakan langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor penerbangan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia belum memutuskan sama ada akan melaksanakan cukai karbon secara mandatori untuk sektor penerbangan walaupun negara kekal komited terhadap matlamat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Malaysia akan mengambil pendekatan secara berperingkat dalam melaksanakan langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor penerbangan.

Katanya butiran lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Namun, dari segi strategi dan pelaksanaannya, pendekatannya berbeza mengikut negara. Bagi Malaysia, kita masih belum menentukan sama ada untuk melaksanakan cukai karbon. 

“Sudah tentu, pelaksanaannya adalah secara berperingkat dan pelaksanaan yang lebih terperinci akan diumumkan dari semasa ke semasa. Namun, pada masa ini, kami belum membuat sebarang keputusan. CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) juga belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan cukai karbon secara mandatori,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam ke-61 untuk Rantau Asia Pasifik (DGCA/61) di sini hari ini.

Anthony berkata mengurangkan pelepasan karbon merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Malaysia pada peringkat nasional dan antarabangsa di bawah ICAO, dengan semua negara anggota dikehendaki berusaha ke arah mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

Sementara itu, persidangan yang dianjurkan oleh Malaysia buat kali pertama itu menghimpunkan pemimpin penerbangan awam dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk membincangkan isu termasuk keselamatan penerbangan, teknologi baharu dan kemampanan.

Anthony berkata persidangan yang bertemakan, ‘Smart Skies: Emerging Technologies for Safe, Secure, Sustainable, and Efficient Aviation’, adalah penting berikutan permintaan terhadap penerbangan terus meningkat manakala teknologi baharu berkembang pesat.

“Teknologi telah mengubah cara pesawat dikendalikan, ruang udara diuruskan dan risiko penerbangan dikenal pasti. Kecerdasan buatan (AI), sistem pesawat tanpa pemandu serta mobiliti udara termaju akan mewujudkan lebih banyak peluang dalam aspek kesalinghubungan, logistik dan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata inovasi perlu disokong oleh dasar yang jelas, peraturan yang berwibawa serta keyakinan awam yang kukuh bagi memastikan kemajuan teknologi meningkatkan keselamatan dan kecekapan penerbangan berbanding mewujudkan risiko baharu.

Terdahulu, dalam ucapan, Anthony berkata sektor penerbangan kekal sebagai tonggak strategik pembangunan negara bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang terbuka dan berorientasikan perdagangan.

“Malaysia menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau yang berdaya tahan dan berdaya saing melalui infrastruktur moden, ruang udara yang lebih cekap, institusi kawal selia yang kukuh dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah menggariskan hala tuju ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih untuk sektor penerbangan antarabangsa menjelang 2050 melalui Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia sejajar dengan Matlamat Aspirasi Jangka Panjang ICAO.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement