PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk beralih kepada model dwirangkaian pada Januari 2024 selepas pelaksanaan rangkaian 5G mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata menerusi pelaksanaan tersebut, ia memberi ruang kepada entiti baharu sebagai penyedia perkhidmatan, sekali gus menamatkan monopoli Digital Nasional Bhd (DNB).

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan bersetuju agar pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya beliau, model dwirangkaian akan ditawarkan bukan sahaja untuk rakyat tetapi bagi sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

"Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.

"Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB," katanya dalam sidang media Inisiatif 5G di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata peralihan itu dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar berpatutan untuk rakyat.

Kementerian juga, tambah beliau sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan DNB, selain penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat serta pelabur.

Dalam masa yang sama, Fahmi berkata kos pembangunan rangkaian kedua 5G melalui entiti baharu masih di peringkat awal dan akan memuktamadkan perkara itu selepas pertemuan dengan pihak berkepentingan termasuk penyedia rangkaian.

Begitupun, entiti pertama, katanya akan terus membangun dan mengoperasikan rangkaian DNB manakala entiti kedua akan mula membina rangkaian kedua 5G seawal Januari 2024.