KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan kekurangan pakar yang kritikal dalam bidang geriatrik iaitu rawatan dan perubatan kesihatan berkaitan golongan warga emas.

Timbalan Menteri Kesihatan Senator Lukanisman Awang Sauni berkata ketika ini, hanya terdapat 33 pakar dalam bidang berkenaan di hospital kementerian, 13 di hospital universiti dan 14 orang di hospital swasta.

"Sepatutnya nisbahnya ialah setiap satu pakar bagi 10,000 populasi tetapi kita cuma ada 0.18 pakar bagi 10,000 populasi, agak kritikal," katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkenaan penawaran bagi rawatan daripada pakar geriatrik di negara ini pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata antara punca kekurangan pakar dalam bidang itu ialah berkait dengan kebolehpasaran pakar geriatrik di Malaysia selain kekurangan pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan rawatan kepada warga emas dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menurutnya, kerajaan sedang menyiapkan draf Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas Kementerian Kesihatan (KKM) 2023-2030 yang antara lain menggariskan secara terperinci keperluan mengisi pakar geriatrik.

"Antara inisiatif untuk menarik minat dalam pakar perubatan geriatrik adalah dengan menambah usaha promosi bagi pengajian subkepakaran geriatrik, menambah bilangan biasiswa yang ditawarkan untuk latihan subkepakaran geriatrik dan menjadikan perubatan geriatrik sebagai bidang yang berpotensi untuk peluang kenaikan pangkat," katanya.

Menurutnya secara purata, seramai lapan pakar perubatan mengikuti latihan subkepakaran dalam bidang geriatrik setiap tahun.

-- BERNAMA