JAKARTA: Malaysia mencadangkan supaya mekanisme pembiayaan bersama bagi biasiswa pendidikan tinggi diterokai bersama Indonesia bagi memperluas kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata cadangan itu antara beberapa inisiatif yang dikemukakan semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Prof Badri Munir Sukoco di sini pada Isnin.
Beliau berkata cadangan pembiayaan bersama itu boleh menggunakan mekanisme sama yang kini dilaksanakan dengan Maldives dan Timor-Leste menerusi Education Malaysia Global Services (EMGS).
“Di bawah mekanisme itu, EMGS menyelaras kerjasama dengan universiti di Malaysia untuk menawarkan pelbagai insentif kepada pelajar antarabangsa, antaranya biasiswa separa, pengurangan yuran pengajian serta bentuk bantuan kewangan lain.
“Pendekatan sama boleh diterokai bersama Indonesia bagi memperluas akses kepada peluang pendidikan tinggi di kedua-dua negara," katanya kepada Bernama.
Aminuddin berkata cadangan itu turut membolehkan bantuan biasiswa diperluas kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian tinggi di Indonesia, melengkapi peluang biasiswa sedia ada Malaysia untuk pelajar Indonesia yang mengikuti pengajian pascasiswazah di Malaysia.
"Banyak pelajar Malaysia datang ke Indonesia untuk menyambung pengajian dalam sektor perubatan, veterinar dan pengajian Islam. Jadi di masa hadapan kalau mereka nak datang menyambung pengajian di sini (Indonesia), kita harap akan ada kemudahan biasiswa dan bantuan kewangan untuk mereka.
“Untuk Malaysia, pelajar antarabangsa termasuk daripada Indonesia khususnya di peringkat sarjana dan doktor falsafah, memang kita ada sediakan biasiswa dan untuk ini pun kita mahu melihat sekiranya perlu ditambah lagi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kini menawarkan 100 tempat setiap tahun menerusi Biasiswa Antarabangsa Malaysia (MIS) berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat kepada pelajar antarabangsa, khususnya mereka yang mengikuti pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran.
Selain kerjasama biasiswa, Aminuddin berkata Malaysia turut membuat susulan terhadap pelaksanaan memorandum persefahaman pendidikan tinggi Malaysia-Indonesia 2023 dengan meneliti kemajuannya, mengenal pasti bidang kerjasama baharu, menentukan sektor keutamaan serta membincangkan kaedah pembiayaan.
Beliau berkata Malaysia turut mencadangkan kerjasama lebih erat bagi memudah cara mobiliti pelajar dengan melonggarkan proses pentadbiran untuk pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian tinggi di Indonesia dan sebaliknya.
“Kita mohon bantuan kepada Indonesia untuk memudahkan proses kalaulah pelajar kita datang sini, bidang apa yang boleh mereka belajar, memudahkan segala proses sebagaimana kita memudahkan pelajar Indonesia datang ke Malaysia,” kata beliau.
Satu lagi bidang tumpuan ialah memperkukuh kerjasama antara institusi menerusi penyelidikan bersama dan perkongsian antara universiti dalam bidang strategik termasuk teknologi, katanya.
Aminuddin pada Isnin turut merasmikan Seminar Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 yang dihadiri wakil Forum Komunikasi Pemerintah Provinsi Seluruh Indonesia (FORKAPPSI) menerusi rangkaian pejabat perhubungan wilayah dari 33 provinsi.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata Malaysia sentiasa melihat Indonesia sebagai rakan strategik utama dalam memajukan pendidikan tinggi di ASEAN, sambil menyatakan kerjasama lebih erat semakin penting ketika universiti berdepan kemajuan teknologi, keperluan industri, perubahan permintaan pasaran buruh dan globalisasi.
Beliau berkata Malaysia juga akan terus menyokong kerjasama lebih erat dengan pemerintah provinsi di Indonesia dan bersedia bekerjasama dengan setiap provinsi berdasarkan kekuatan serta keutamaan masing-masing, sekali gus membolehkan kerjasama disesuaikan dengan keperluan tempatan sambil menyumbang kepada pembangunan bakat serantau.
Kedua-dua negara perlu terus komited membina perkongsian jangka panjang dan mampan, membangunkan bakat bagi memenuhi keperluan masa depan serta memperkukuh hubungan sebagai tonggak kestabilan dan kemajuan serantau, katanya.
Aminuddin berkata kerjasama pendidikan tinggi yang lebih erat merupakan keperluan strategik untuk membina ASEAN yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan dihormati di peringkat global.
-- BERNAMA