KUALA LUMPUR:Malaysia mencatat markah tertinggi untuk kesediaan data terbuka dalam kalangan negara ASEAN menerusi penilaian dilakukan ASEANstats dalam tahun ini, kata pejabat kepada Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM tidak mengulas lanjut mengenai markah yang dicapai tetapi berkata Malaysia diberi kepercayaan sekali lagi untuk mengepalai Kumpulan Kerja mengenai Sistem Akaun Nasional (WGSNA) 2021-2022.

Ia berkata selaku negara peneraju dalam memulakan nota konsep Data Raya, Malaysia dan Indonesia akan seterusnya bekerjasama dalam membangunkan pelan pembinaan kapasiti negara anggota ASEAN bagi mencapai objektifnya dalam jangka masa yang ditetapkan," katanya.

"Bersempena ulang tahun ke-10 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS), Malaysia telah berkongsi amalan terbaik dan pengalaman dalam penyusunan Statistik Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) dan Statistik Perdagangan Antarabangsa Dalam Perkhidmatan (SITS) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

"Perkongsian itu di dalam bentuk videografik dan infografik pada Forum Peringkat Tinggi ACSS yang diadakan pada 10 Dis, berturut-turut dengan Sesi Ke-10 Jawatankuasa (ACSS10)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penularan COVID-19 telah menyebabkan DOSM melihat semula pendekatan pengumpulan data dan alat komunikasi.

Ia berkata sebagai norma baharu, DOSM akan menggunakan platform digital dan teknologi sebagai salah satu inisiatif terbaik dalam menyediakan perangkaan rasmi untuk membantu kerajaan dalam membuat keputusan berdasarkan bukti.

"Antaranya ialah tiga survei khas dalam talian untuk mengukur kesan COVID-19 ke atas individu dan syarikat; mengeluarkan tujuh jilid Kajian Semula Perangkaan Ekonomi Malaysia (MESR) dan 223 siri pelbagai laporan untuk menunjukkan perkembangan sosial dan ekonomi terkini

DOSM juga telah membangunkan satu laman sesawang capaian khas memaparkan visual COVID-19 secara interaktif ... semua amalan terbaik dikongsi dengan platform antarabangsa seperti webinar, forum, persidangan dan laman sesawang khas COVID-19 Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE)," katanya.

Sementara itu menurut kenyataan berkenaan ketua-ketua Pejabat Statistik Nasional ASEAN yang menyertai ACSS10 dari 8 hingga 9 Dis, dihoskan secara maya oleh Pejabat Statistik Awam Vietnam selaku Pengerusi ACSS10.

Ia berkata DOSM yang diketuai Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyertai sesi itu selain pertubuhan statistik antarabangsa dan rakan pembangunan.

Sesi itu membincangkan perkara utama yang boleh disampaikan dan bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam perangkaan seperti Rangka Kerja Pelaksanaan Data Terbuka ACSS, Rangka Kerja ASEAN-Bantu-ASEAN, hasil kajian semula separuh penggal Pelan Strategik ACSS 2016-2025 dan Semakan Pelan Strategik ACSS 2021-2025.

-- BERNAMA