Skip to main content

Malaysia

Malaysia, China perkukuh kerjasama perangi jenayah rentas sempadan

MALAYSIA-CHINA TERUS PERKUKUH KERJASAMA KESELAMATAN Saya turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China, TYT Wang Xiaohong pada hari kedua saya meyertai Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang (GPSCFL) 2026._FB Saifuddin Nasution Ismail
Malaysia mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan China dan rakan antarabangsa lain bagi meningkatkan usaha memerangi jenayah rentas sempadan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan China dan rakan antarabangsa lain bagi meningkatkan usaha memerangi jenayah rentas sempadan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerjasama rentas sempadan sangat penting dalam melindungi keselamatan Malaysia, khususnya menerusi perkongsian strategik dengan China yang diperkukuh melalui perjanjian dua hala yang dimeterai pada Jun 2024 bagi membanteras sindiket jenayah berkenaan.

“Apabila kita bekerjasama, penjenayah kalah. Apabila kita bertindak sendirian, mereka menang. Sebab itu saya sangat menghargai persidangan ini. Di sinilah jaringan antara kerajaan dibina menerusi forum ini. Di sinilah kepercayaan antara agensi dibentuk dan diwujudkan.

“Di sinilah kerjasama bermula dan diperbaharui. Bagi Malaysia, kerjasama antarabangsa adalah bahagian penting daripada keselamatan negara dan perkara ini benar dalam hubungan kita dengan China,” katanya.

Saifuddin Nasution menyampaikan kenyataan itu pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global (GPSCF) 2026 di Lianyungang, China yang dikongsikan menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.

Forum selama tiga hari yang bermula pada Selasa itu berakhir esok.

Menurut Saifuddin, perjanjian 2024 berkenaan menjadi asas kukuh kepada penyelarasan taktikal antara kedua-dua negara, dengan perkongsian risikan, operasi bersepadu dan siasatan bersama sudah giat dilaksanakan.

Beliau berkata kedua-dua negara kini sudah berkongsi maklumat, menyelaras operasi serta menjalankan siasatan bersama.

Saifuddin Nasution ketika mengulas mengenai kejayaan kerjasama itu berkata Malaysia menyiasat 141,000 kes penipuan dalam talian antara 2024 hingga Mei 2026 menerusi mekanisme dua hala berkenaan.

Menegaskan semula pendirian keselamatan luar Malaysia, Saifuddin Nasution berkata negara akan terus menjadi rakan keselamatan yang boleh dipercayai bagi negara-negara anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa secara lebih meluas.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement