KUALA LUMPUR:Kecekapan negara menguruskan pandemik COVID-19 terus mendapat pengiktirafan global.

Menerusi ranking Indeks Prestasi Covid oleh Lowy Institute, sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia, Malaysia berada di kedudukan ke-16 daripada 98 buah negara yang dinilai dalam menguruskan pandemik berkenaan. 

Malaysia berada di hadapan Finland, Norway dan Korea Selatan, dengan skor purata 71 peratus.

Manakala jiran terdekat, Singapura mendahului Malaysia di tangga ke-13 dengan 74.7 peratus.

New Zealand mencatatkan peratus paling tinggi dalam kalangan 98 negara iaitu 94.4 peratus, Vietnam 90.8 peratus, Taiwan 86.4 peratus, Thailand 84.2 peratus, dan Cyprus 83.3 peratus.

Brazil pula berada di kedudukan tangga paling corot dengan hanya 4.3 peratus.

Negara yang mencatatkan kes COVID-19 tertinggi di dunia, Amerika Syarikat dalam pada itu menduduki  tangga ke-94 dengan 17.3 peratus. 

BACA: COVID-19: Angka korban seluruh dunia 2.22 juta
 



Kecekapan sesebuah negara dinilai dengan mengambil kira kepada kesan geografi, politik, ukuran populasi, dan pembangunan ekonomi terhadap kesan COVID-19.

Pengumpulan data secara kolektif ini dilakukan dalam masa 36 minggu dan data yang dilaporkan  diperoleh sehingga 9 Januari 2021.

Purata angka harian baru bagi tempoh 14 hari dikira berdasarkan kes kematian disahkan, kes positif daripada jutaan penduduk, kes kematian daripada jutaan penduduk, kes positif daripada kadar ujian saringan dan kadar ujian daripada ribuan penduduk.

BACA: Malaysia di tempat kelima tercorot dari segi pengumpulan, penggunaan data biometrik