Negara kini berada pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia berdasarkan kemajuan pembangunan negara berikutan kejayaan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang diiktiraf sebagai satu daripada 20 pasukan inovasi kerajaan terkemuka dunia.

"Ranking ini membuktikan Pemandu, sebagai pemangkin prestasi, telah mencerminkan bahawa Malaysia berada pada landasan betul dalam aspirasi kita untuk mencapai status negara maju.

"Kepada rakyat Malaysia, kita telah bergerak ke hadapan, pada semua tahap," katanya dalam catatan terbaharu Facebook dan Twitternya.


Yayasan inovasi United Kingdom, Bloomberg Philanthropies dan Nesta, dalam terbitan pada Isnin menyenaraikan Pemandu sebagai antara yang terbaik dalam kalangan pasukan inovasi dalam kerajaan.

Menjelaskan wawasannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, penubuhan Pemandu pada 2009 untuk menyokong pelaksanaan Program Transformasi Negara, yang bertujuan bagi merubah Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Jelas Najib, program itu menyasarkan transformasi bagi kerajaan dan sektor swasta melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"GTP fokus kepada memodernkan cara kerajaan Malaysia beroperasi manakala ETP memberi tumpuan kepada menarik pelaburan swasta asing dan domestik ke Malaysia," ujarnya.

Laporan itu, bertajuk 'i-teams: The teams and funds making innovation happen in governments around the world', menyenaraikan beberapa model paling menarik untuk disarankan kepada kerajaan lain yang sedang berusaha mewujudkan 'i-team' mereka sendiri.

Ia juga menonjolkan pasukan-pasukan inovasi yang dibentuk oleh pihak berkuasa bandar, kerajaan wilayah dan negara untuk menawarkan penyelesaian baharu terhadap cabaran yang kompleks.

Ia berkata 20 i-team itu memperkenalkan alat, kaedah dan amalan baharu terus kepada birokrasi tradisional, menangani pelbagai isu daripada mengurangkan kadar pembunuhan dan meningkatkan pencapaian pendidikan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan melibatkan warganegara dalam perkhidmatan reka bentuk semula.

Laporan itu menyatakan bahawa sejumlah i-team di Asia sedang pesat meningkat sementara tumpuan terbesar kekal di Eropah dan Amerika Utara.