Malaysia kini di landasan yang betul dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sehingga separuh menjelang 2030, iaitu satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata ini berdasarkan angka semasa yang menunjukkan penurunan secara purata sebanyak lima peratus setahun sejak 2017, sekalipun jumlah nahas meningkat.

"Kita boleh capai pengurangan 50 peratus dalam kematian akibat nahas jalan raya jika kita kekalkan atau terus turunkan angka semasa dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika bercakap sebagai tetamu program bual bicara Bernama TV - The Nation: Safe Travel During CMCO: What Can We Do?

Mengenai peningkatan kadar nahas jalan raya, beliau berkata perkara itu disebabkan pertambahan bilangan kenderaan persendirian yang kini menghampiri 30 juta buah dengan lebih separuh adalah motosikal.

"Setiap 55 saat, satu insiden jalan raya berlaku di negara ini dan kita mempunyai kira-kira 30 juta kenderaan persendirian dengan populasi sekitar 32 juta orang, ditambah lagi kecenderungan kita menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam," kata Kulanthayan yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Beliau juga percaya peralihan daripada penggunaan kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam akan dapat mengurangkan kadar nahas jalan raya.

Mengenai pengurangan insiden jalan raya sebanyak 70 peratus yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan pada bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac, Kulanthayan berkata angka itu belum cukup memuaskan.

"Saya jangkakan pengurangan 90 peratus sepanjang tempoh itu," katanya, menambah angka itu lebih munasabah memandangkan bilangan kenderaan di atas jalan adalah sedikit, namun jalan yang lengang mendorong pemandu untuk memandu lebih laju.

Beliau juga bersetuju bilangan kenderaan di atas jalan raya akan bertambah semasa sambutan Aidilfitri hujung minggu ini sekalipun negara masih di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

"Nasihat saya ialah kurangkan kelajuan yang dapat menyelamatkan nyawa. Ingat, kalau anda terbabit dalam kemalangan pada kelajuan 90 km sejam, ini bersamaan jatuh dari tingkat 10 bangunan dan peluang untuk selamat adalah sangat rendah.

"Juga, jangan lupa kenakan tali pinggang keledar," katanya.

Safe Kids Malaysia merupakan organisasi yang bermatlamat menambah baik kehidupan kanak-kanak menerusi pencegahan kecederaan.

-- BERNAMA