KUALA LUMPUR: Malaysia dianggap sebagai tempat terbaik untuk persaraan selepas menduduki tempat pertama dalam senarai 10 tempat paling selamat untuk bersara di Asia dengan perbelanjaan kurang daripada AS$2,000 atau RM9,000 sebulan.

Dapatan itu diperoleh menerusi kajian daripada perbadanan perkhidmatan kewangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nasdaq.

Bagi mendapatkan ranking itu, Nasdaq menggunakan data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap negara.

Selain itu, data berkaitan kos sara hidup turut diambil kira dan Nasdaq menetapkan, setiap negara yang termasuk dalam penilaian perlu mempunyai indeks keamanan global di bawah skala 2.0 untuk layak dinilai.

Memenuhi semua kriteria ditetapkan, kajian itu menyenaraikan Malaysia di tangga teratas dengan indeks keamanan global pada tahap 1.471 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,066 (RM4,825).

“Malaysia menduduki tangga pertama dengan indeks kos sara hidup 22.9, dan KDNK AS$481.9 trilion.

“Dengan purata perbelanjaan bulanan lebih AS$1,000, ia adalah tempat yang sangat baik untuk dipertimbangkan oleh pesara," katanya menerusi artikel disiarkan GoBankingRates baru-baru ini.

Tempat kedua dalam senarai itu ialah Kuwait dengan indeks keamanan global 1.739 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$1,741 (RM7,880).

Kedudukan Malaysia dilihat mengatasi beberapa negara jiran lain dengan Vietnam tersenarai di tangga empat dengan kos sara hidup RM5,055 sebulan.

Indonesia pula berada di tangga kelima dengan kos sara hidup bulanan mencecah RM4,254.

Kedudukan Indonesia berada lebih rendah meskipun kos bulanan rendah kerana penilaian turut mengambil kira KDNK negara dan indeks keamanan global di negara tersebut.