KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Wisma Putra menggunakan semua saluran diplomatik yang ada untuk memberi tekanan kepada komuniti global supaya bertindak di atas nama kemanusiaan dalam isu Palestin, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada masa ini Malaysia bekerjasama rapat dengan negara-negara yang bersependapat dalam isu ini di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dalam memburu tiga perkara utama.

"Pertama untuk mendapatkan satu gencatan senjata yang tetap dan segera. Kedua untuk mendapatkan akses yang selamat tanpa halangan untuk menghantar bantuan, dan ketiga untuk memastikan kebertanggungjawaban, kerana melanggar undang-undang antarabangsa, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Terbuka dalam Isu Palestin: Tegakkan Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Antarabangsa - Apakah Peranan Malaysia ? di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mohamad berkata rakyat Malaysia seharusnya menggemblengkan kekuatan dan semangat tidak mudah luntur dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

"Jalan di hadapan mungkin panjang dan mencabar tetapi Malaysia tidak akan berputus asa. Menerusi program wacana dan sokongan, kami berharap untuk menarik lebih banyak kerajaan untuk menyertai kami di atas aspek kemanusiaan, katanya.

Beliau berkata dalam melangkah ke hadapan prinsip yang membimbing usaha Malaysia di sisi undang-undang dan diplomatik ialah tiga tonggak utama iaitu menangani punca sehingga ke akar umbi, menegakkan undang-undang antarabangsa dan menamatkan situasi di mana pesalah bebas daripada apa-apa hukuman.

Semasa menjelaskan ketiga-tiga tonggak utama itu Mohamad berkata warga Palestin berhadapan dengan pendudukan yang menyesakkan nafas dan penindasan seumpama ini perlu dinoktahkan.

Beliau berkata komuniti global perlu disedarkan bahawa dasar dan amalan Israel secara terang-terangan adalah pencabulan undang-undang antarabangsa dan Malaysia perlu bekerjasama dengan negara-negara bersependapat untuk menggunakan segala platform berkaitan sama ada Majlis Hak Asasi Manusia dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menangani pelanggaran undang-undang secara terang-terangan oleh Israel.

Mohamad berkata menamatkan situasi di mana pesalah bebas daripada apa-apa hukuman dalam hubungan antarabangsa termasuk mengkaji semula keistimewaan hak memveto dalam Majlis Keselamatan PBB .

Beliau berkata veto telah menghalang Majlis Keselamatan daripada menerima pakai resolusi satu gencatan senjata kemanusiaan di Gaza dan Malaysia secara tekal menggesa supaya veto dimansuhkan untuk menegakkan prinsip Piagam PBB iaitu kedaulatan yang sama dalam kalangan semua negara.

Mohamad berkata Malaysia percaya satu kempen yang berterusan boleh membangkitkan kos terhadap reputasi kerana menggunakan veto dalam situasi sedemikian.

Beliau berkata Malaysia tidak akan berlembut sehingga warga Palestin boleh melaksanakan hak tak terpisah mereka tanpa rasa takut atau tanpa intimidasi, menikmati asas kebebasan serta hidup dengan aman dan bermaruah.

"Kami (Malaysia) tidak akan berhenti sehingga Palestin mendapat tempatnya yang betul sebagai sebuah negara anggota PBB sepenuhnya dan saya percaya generasi akan datang Malaysia boleh melihat balik dengan bangga bahawa kita berada di pihak yang benar dalam sejarah," katanya.

-- BERNAMA