NATIONAL
Malaysia, Indonesia sepakat uruskan pembayaran dam haji di negara masing-masing

Malaysia dan Indonesia bersetuju berkaitan kaedah pembayaran dam itu bagi memastikan kelancaran dan jumlah daging dapat diagihkan dengan lebih teratur. - DPMO
JAKARTA: Menteri-Menteri Agama negara Asia Tenggara (MABBIM) telah bersepakat untuk mencadangkan kepada Arab Saudi supaya pembayaran dam ibadah haji oleh jemaah, iaitu dengan menyembelih kambing, boleh dilaksanakan di negara-negara masing.
Malaysia dan Indonesia bersetuju berkaitan kaedah pembayaran dam itu bagi memastikan kelancaran dan jumlah daging dapat diagihkan dengan lebih teratur, telus dan efisien kepada penerima.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu dibincangkan ketika pertemuan rasmi beliau dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden di Jakarta pada Isnin.
Untuk rekod, setiap tahun sejumlah 220,000 ekor kambing disembelih oleh jemaah haji Indonesia, manakala lebih 40,000 ekor kambing oleh jemaah Malaysia, untuk urusan pembayaran dam ibadah haji.Naib Presiden Gibran juga ada menyentuh cadangan untuk membina penempatan kekal seperti hotel untuk keselesaan jemaah haji Asia Tenggara khususnya dari Malaysia dan Indonesia yang dibina oleh kerajaan masing-masing di lokasi ibadah haji iaitu di Mina, Arab Saudi .
Ahmad Zahid menjelaskan cadangan itu amat baik tetapi perlu diperjelaskan dan disampaikan secara harmoni dengan pihak Kerajaan Arab Saudi.
Dalam pertemuan sama, Malaysia dan Indonesia turut sependapat untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan sejagat.
Kerajaan Indonesia menegaskan keperluan mendesak bagi satu gencatan senjata segera di Palestin, khususnya di Gaza, bagi menghentikan penderitaan dan kemusnahan yang berlarutan.
Malaysia pula mengekalkan pendirian tegasnya, tidak akan berganjak daripada menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Oleh yang demikian, komuniti antarabangsa perlu mengetepikan perbezaan kecil, ideologi mahupun pegangan. Sebaliknya, atas dasar kemanusiaan, kita harus mobilisasi sokongan global untuk mencari jalan penyelesaian dan memulakan usaha rekonstruksi di Gaza,” tegas Ahmad Zahid.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempergiat usaha di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil, dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami