KUALA LUMPUR: Malaysia jatuh 18 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 berbanding tahun lepas, sekaligus mencatatkan kemerosotan paling teruk dari tahun ke tahun.

Jatuh dari tempat ke-101 pada 2020 ke tempat ke-119 tahun ini, Malaysia kini terletak antara Congo (118) dan Nigeria (121).

Indonesia yang naik enam tangga ke tempat ke-113, merupakan satu-satu negara di rantau ini yang merekodkan kedudukan lebih baik berbanding Malaysia.

Menurut Reporters Without Borders (RSF), antara faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ini termasuk undang-undang mengekang berita palsu melalui Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang “membenarkan kerajaan untuk menentukan kebenarannya sendiri”.

“Pendekatan yang diambil kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (kini Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM) yang mengeluarkan propaganda politik dan diperuntukkan RM85 juta dalam Bajet 2021,” menurut laporan RSF.

RSF turut merujuk kepada beberapa akta yang menyekat kebebasan media, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bawah undang-undang ini, yang memerlukan reformasi menyeluruh, pihak berkuasa mempunyai kawalan ketat atas lesen penerbitan dan wartawan boleh dipenjara sehingga 20 tahun di penjara atas tuduhan hasutan.

“Untuk melindungi diri mereka daripada desakan kerajaan, ramai wartawan terpaksa menyekat suara mereka.”

Pada Ogos tahun lepas, pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa selepas agensi berita itu menyiarkan dokumentari yang mendakwa pendatang asing dilayan teruk di negara ini.

Manakala pada Februari lalu, portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana dituduh bertanggungjawab atas pembacanya yang menghina mahkamah di ruangan komen portal itu.

“Pandemik COVID-19 menjadi asas untuk menyekat akses wartawan kepada sumber maklumat serta bagi membuat laporan di lapangan,” menurut RSF lagi.

“Kewartawanan adalah vaksin terbaik untuk melawan penyebaran maklumat yang tidak betul,” jelas Setiausaha Agung RSF Cristophe Deloire.

Secara keseluruhan, RSF mendapati kewartawanan disekat sepenuhnya di 73 negara dan dikekang di 59 yang lain, iaitu 73 peratus daripada kesemua 180 negara yang dikaji.