Perdana Menteri berkata Malaysia dan Jepun bersetuju memberi komitmen ke arah memperkukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang tidak lagi terhad kepada latihan dan pendidikan, malah lebih berpandangan ke hadapan dengan tumpuan yang lebih baik dan lebih berorientasikan ekonomi.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini adalah sejajar dengan struktur transformasi ekonomi dan keutamaan kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ke Malaysia, di sini hari ini.

Kedua-dua kerajaan berjanji untuk meningkatkan lagi usaha sama antara syarikat-syarikat Malaysia dan perbadanan multinasional serta usahawan kecil dan sederhana dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Bidang lain termasuk perkhidmatan teknikal utama, sokongan institusi dan sektor-sektor lain yang bernilai tambah tinggi untuk mempromosi Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan dalam kalangan PKS Malaysia yang dibantu rakan-rakan Jepun.

Dalam pada itu, Abe berkata kerajaan Jepun akan memberi komitmen ke arah gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Kami telah mengesahkan untuk menggalakkan kerjasama dalam infrastruktur bagi meningkatkan pertumbuhan di Malaysia dan bersetuju untuk menggunakan kepakaran teknologi tinggi kami, terutama dalam tren berkelajuan tinggi dan sistem air dan tenaga di negara ini," katanya.

Mengenai kewangan, Najib berkata berikutan Perjanjian Pertukaran Dua Hala akan tamat pada Oktober 2007, Malaysia menyambut baik usaha untuk memulakan perbincangan mengenai pembaharuan perjanjian.

"Kami berharap mendapatkan sokongan daripada kerajaan Jepun dan pihak berkuasanya bagi menggalakkan perusahaan Jepun, institusi kewangan dan pelabur untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan kewangan Islam dengan Malaysia," katanya.

"Kami juga ingin menawarkan bantuan teknikal kepada Jepun dalam bidang kewangan Islam," kata Najib.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kedua-dua pihak memperakui perlunya mewujudkan program penyelidikan berskala besar atau usaha sama akademik antara Institut Malaysia-Jepun (MJIT) syarikat dan Industri Jepun dalam bidang teknologi canggih.

"Malaysia akan terus menghantar pelajar ke Jepun, terutama dalam bidang sains dan teknologi dan menyambut baik lebih ramai pelajar Jepun ke MJIT," kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu keselamatan dan pertahanan, pelancongan dan pertukaran belia serta isu-isu serantau dan antarabangsa.