PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida pada Sabtu mengumumkan peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif dengan kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam lima bidang utama.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), bidang-bidang itu ialah Kerjasama Keamanan dan Keselamatan; Penglibatan Berterusan di Semua Peringkat untuk Kemakmuran Ekonomi; Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar; Masyarakat, Budaya dan Pertukaran Sesama Rakyat; dan Kerjasama Serantau dan Global.

Semasa pertemuan itu yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, kedua-dua perdana menteri turut membincangkan cara untuk meluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, peralihan tenaga dan pembinaan kapasiti antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Wisma Putra.

"Mereka juga menyentuh mengenai penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang dijangka menerima pendaftaran pertama pelajar pada Sept 2024," menurut kenyataan itu.

Pada 2022 perdagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion), menyumbang 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dan menjadikannya rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015.

Jepun merupakan antara sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) bagi Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan sejak 1980-an.

Sehingga Jun 2023 sebanyak 2,778 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).

"Peningkatan hubungan dua hala menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Jepun," menurut Wisma Putra.

Malaysia yakin komitmen yang diperbaharu itu akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat dan manfaat yang lebih besar bagi kedua-dua negara.

-- BERNAMA