ASTANA: Malaysia dan Kazakhstan mahu menghidupkan semula momentum kerjasama pendidikan tinggi yang terjejas susulan COVID-19, dengan tumpuan kini diperluas kepada bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga nuklear, mineral kritikal dan pertanian.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata hubungan pendidikan antara kedua-dua negara telah bermula sejak beberapa dekad lepas namun sebahagian daripada momentum kerjasama berkenaan terhenti ketika pandemik itu.
“Sekarang ini masa terbaik untuk kita ‘reconnect’ ataupun membina semula apa yang telah kita atur bersama-sama pihak Kazakhstan.
“Pada masa sama, kita mempunyai ribuan pelajar Kazakhstan yang pernah belajar di Malaysia dan kini berada dalam pelbagai sektor, agensi serta kementerian. Mereka inilah yang memainkan peranan penting dalam menguatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Kazakhstan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada lawatan rasminya ke Kazakhstan yang berakhir pada Ahad bersempena dengan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah 2026 (MAHEF2026) anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS).
Zambry berkata perkembangan itu turut membuka ruang kepada Malaysia untuk memperluas jaringan pendidikan tinggi dengan seluruh rantau Asia Tengah susulan hubungan yang semakin kukuh termasuk selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke rantau berkenaan pada 2024.
Beliau berkata antara perkembangan penting adalah penganjuran julung kali mesyuarat di peringkat menteri berkaitan pendidikan tinggi melibatkan Malaysia dan negara Asia Tengah, dengan Kazakhstan menjadi tuan rumah bagi edisi pertama.
Zambry berkata kedua-dua pihak pada dasarnya bersetuju supaya mesyuarat itu dijadikan acara tahunan dan dianjurkan secara bergilir dengan Malaysia dijangka menjadi tuan rumah pada tahun depan.
“Malaysia dan Kazakhstan juga telah mengenal pasti beberapa bidang bagi kajian serta penyelidikan bersama termasuk AI, tenaga nuklear bagi tujuan keamanan, mineral kritikal dan unsur nadir bumi (REE) selain pertanian,” katanya.
Kerjasama itu turut merangkumi program dwiijazah bagi membolehkan pelajar kedua-dua negara mengikuti pengajian di universiti terpilih di Malaysia dan Kazakhstan, selain program mobiliti, latihan industri serta pertukaran pengalaman.
Dalam pada itu, Zambry berkata EMGS memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dengan pendekatannya dalam menguruskan pelajar antarabangsa turut menjadi rujukan beberapa negara.
Beliau berkata antara inisiatif EMGS ialah International Student Arrival Centre (ISAC) yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai pusat sehenti bagi memudahkan urusan pelajar antarabangsa sebaik tiba di Malaysia.
Zambry berkata Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Republik Kazakhstan Sayasat Nurbek turut menunjukkan minat dengan fungsi yang dijalankan EMGS susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) semalam dalam memperkukuh kerjasama dan berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi.
Malaysia kini mempunyai kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa dari hampir 180 negara dan berada di kedudukan ke-14 sebagai destinasi pendidikan antarabangsa dengan negara menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada masa depan.
-- BERNAMA