Malaysia kecewa AS veto, halang PBB iktiraf negara Palestin
Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan itu telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli UNSC.
Afiezy Azaman
Fri Apr 19 2024
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Malaysia melahirkan kebimbangan dan kekecewaan susulan tindakan Amerika Syarikat menggunakan veto untuk menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) daripada mengiktiraf Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun seruan jelas oleh majoriti ahli PBB.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan itu telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967.
PRESS RELEASE: MALAYSIA EXPRESSES DEEP CONCERN OVER THE FAILURE OF THE UNITED NATIONS SECURITY COUNCIL TO ADMIT PALESTINE AS A FULL MEMBER OF THE UNITED NATIONS pic.twitter.com/UeQdx34UQx
"Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya pada Jumaat.