NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendesak semua pihak bertenang, pasca serangan Iran ke atas Israel.

Beliau mengingatkan semua anggota badan dunia itu, tindakan menggunakan kekerasan adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.

"Asia Barat kini berada di ambang. Rakyat di rantau ini berdepan bahaya sebenar, konflik pada skala penuh.

"Sekarang adalah waktunya untuk bertenang sepenuhnya," katanya.

Kenyataan ini dibuat ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Iran pada lewat Sabtu melancarkan serangan ke atas Israel, sebagai tindak balas serangan rejim terhadap bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.