JAKARTA: Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelancong penjagaan kesihatan dari Indonesia meskipun semasa pandemik disebabkan kualiti bertaraf dunia, mudah diakses, mampu milik dan penjagaan keseluruhan yang lancar.

Pada 2019, lebih 670,000 rakyat Indonesia mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia.

Ia sekali gus mencerminkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan diyakini dalam sektor penjagaan kesihatan yang dikawal selia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami melihat peningkatan trend populariti Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Mohd Daud Mohd Arif dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia pada April menjamin pengembara pelancongan kesihatan, terutamanya dari Indonesia boleh kembali menerima rawatan.

Ekspo Penjagaan Kesihatan Malaysia 2022 MHTC akan berlangsung tiga hari di Jakarta mulai Khamis untuk memenuhi permintaan pengembara penjagaan kesihatan dan mereka yang menunggu bagi mendapatkan rawatan sejak pandemik bermula.

Empat wakil pelancongan negeri, serta 10 hospital ahli MHTC akan mengadakan pameran tawaran penjagaan kesihatan terbaik dalam bidang kesuburan, kardiologi, onkologi, Hepatitis C dan banyak lagi.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seperti cabutan bertuah dan memenangi hadiah bernilai sehingga 17 juta rupiah.

MHTC akan mengadakan acara sama di bandar lain, seperti Surabaya dan Medan tahun ini. - BERNAMA