Skip to main content

Sukan

'UNTAMED' bawa peminat menyelami perjalanan JDT menuju puncak kejayaan

Dokumentari berdurasi 76 minit itu membawa penonton menyelami sisi di sebalik tabir kelab bola sepak paling berjaya di Malaysia, termasuk kejayaan, cabaran dan kontroversi serta usaha tanpa henti mengejar kecemerlangan yang mewarnai kebangkitan JDT sepanjang 13 tahun lepas. - Gambar FB JOHOR Southern Tigers
Dokumentari berdurasi 76 minit itu membawa penonton menyelami sisi di sebalik tabir kelab bola sepak paling berjaya di Malaysia, termasuk kejayaan, cabaran dan kontroversi serta usaha tanpa henti mengejar kecemerlangan yang mewarnai kebangkitan JDT sepanjang 13 tahun lepas. - Gambar FB JOHOR Southern Tigers

Advertisement

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menyingkap kisah di sebalik kejayaan Harimau Selatan menerusi dokumentari terbaharu ‘UNTAMED’ yang merakam perjalanan transformasi kelab itu sehingga muncul sebagai antara kuasa utama bola sepak Asia.

Dokumentari berdurasi 76 minit itu membawa penonton menyelami sisi di sebalik tabir kelab bola sepak paling berjaya di Malaysia, termasuk kejayaan, cabaran dan kontroversi serta usaha tanpa henti mengejar kecemerlangan yang mewarnai kebangkitan JDT sepanjang 13 tahun lepas.

‘UNTAMED’ dipertontonkan menerusi tayangan eksklusif di TGV Cinemas Suria KLCC, di sini, pada Rabu.

Bekas kapten JDT, Safiq Rahim percaya dokumentari berkenaan mampu menarik perhatian khalayak lebih luas, bukan sahaja penyokong setia Harimau Selatan, malah peminat bola sepak di seluruh negara dan luar negara.

“JDT adalah untuk semua. Saya percaya dokumentari ini bukan sahaja untuk penyokong JDT tetapi juga peminat bola sepak Malaysia, malah penonton dari negara lain,” katanya kepada pemberita selepas tayangan eksklusif itu.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan dokumentari berkenaan sebagai karya yang membuka mata mengenai usaha di sebalik tabir yang menjadi antara tunjang kejayaan luar biasa Harimau Selatan selama ini.

Antara tarikan utama ‘UNTAMED’ ialah perkongsian Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT Tunku Mahkota Ismail mengenai visi baginda, perjalanan kelab serta aspirasi untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai kuasa digeruni dalam kancah bola sepak Asia.

Menerusi rakaman eksklusif di bilik persalinan, padang latihan serta operasi kelab, dokumentari itu turut memaparkan tekanan dan pengorbanan yang perlu ditempuhi dalam usaha mengekalkan budaya kemenangan JDT.

Dokumentari yang boleh distrim menerusi JDT+ itu turut menampilkan beberapa individu berpengaruh di sebalik pembangunan JDT termasuk Ketua Pegawai Operasi, Alistair Edwards; Pengarah Kewangan, Datuk Seri Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin; Pengurus Projek Khas, Kevin Ramalingam dan bekas Pengarah Sukan, Martin Prest.

Turut berkongsi pengalaman ialah barisan pemain JDT antaranya Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Matt Davies dan La’vere Corbin Ong, selain bekas pemain Safiq dan Safee Sali serta bekas ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Dengan koleksi 35 trofi sepanjang 13 tahun, JDT kini menduduki ranking pertama di Asia Tenggara dan ke-10 di Asia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara kelab bola sepak terkemuka di rantau ini.

JDT turut mencipta sejarah pada 2015 apabila menjadi kelab Malaysia pertama menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus melakar pencapaian penting dalam sejarah bola sepak negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement