Skip to main content

Malaysia

Malaysia kekal pendirian usir warga Israel selari dasar negara - Mohamed Khaled

[TB]_BN, PRN, Khaled Nordin_ASTRO AWANI
Mohamed Khaled (fotoz) berkata Malaysia kekal dengan pendirian itu dan sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pelaksanaan dasar berkenaan. -Foto fail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Tindakan Malaysia mengusir warga Israel adalah seiring dengan dasar negara ini yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak dahulu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia kekal dengan pendirian itu dan sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pelaksanaan dasar berkenaan.

"Apa yang berlaku (pengusiran) itu untuk memastikan tidak ada orang Israel ini terlibat dalam Network School.

"Dari dulu lagi dasar kita tidak terima orang Israel masuk negara kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pengusiran warga Israel dan isu Ahli Kongres Amerika Syarikat yang mendesak pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) kepada Malaysia dihentikan.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata pendirian Malaysia yang tegas dalam melaksanakan dasar berkenaan setakat ini tidak menjejaskan pembiayaan melibatkan IMET.

"Dasar kita tidak iktiraf negara Israel, itu sahaja. Jadi, kalau Ahli Kongres hendak buat (desakan) itu antara dia dengan kerajaan dia," katanya. 

Baru-baru ini lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat menggesa pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia, susulan tindakan terhadap warga Israel yang didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.

Gesaan berkenaan dibuat menerusi surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada 21 Julai lepas yang turut meminta Washington mempertimbangkan penggantungan pembiayaan IMET, sekiranya Malaysia tidak mengubah pendirian dalam tempoh 15 hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan berikutan Malaysia berpendirian jelas tidak mengiktiraf Israel.

Beliau berkata semua agensi keselamatan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan rakyat Israel dikesan memasuki Malaysia susulan isu Network School di Forest City, Johor.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement