KUALA LUMPUR:Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif walaupun ketidaktentuan global, dengan sejumlah US$26.4 bilion (US$1 = RM4.04) pelaburan telah diluluskan dalam sembilan bulan pertama 2020, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari Januari hingga September 2020 menyaksikan peningkatan sebanyak 16.6 peratus dalam pelaburan modal, melonjak berbanding 3.2 peratus yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2019.

"Kerajaan Malaysia juga melaksanakan inisiatif tambahan bagi memacu pelaburan asing selanjutnya.

"Inisiatif tersebut merangkumi usaha memudahkan operasi perniagaan melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan tertentu, menyediakan insentif cukai bagi sektor farmaseutikal serta perkhidmatan dan pelaksanaan pusat sehenti (OSC) untuk memudahkan kemasukan pelancong perniagaan ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena webinar "Kepakaran Industri Itali di Malaysia" yang dihoskan oleh Institut Penyelidikan CIMB ASEAN dengan kerjasama Kelab Perniagaan ASEAN di sini hari ini.

Azman melahirkan keyakinan bahawa struktur ekonomi Malaysia dan pengurusan makroekonomi yang kukuh akan terus menyokong asas ekonomi negara ketika Malaysia memasuki era normal baharu.

"Ketika kita bergerak ke arah kepelbagaian strategik, terutamanya dalam produk serta perkhidmatan bernilai tinggi, negara ini menawarkan peluang yang luas untuk pelabur Itali dalam bidang jentera dan peralatan berkualiti, aeroangkasa, teknologi hijau, teknologi automotif dan reka bentuk perindustrian," katanya.

MIDA optimis bahawa lebih banyak pelaburan berkualiti akan memasuki Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang.

Sementara itu, Azman turut menggesa sektor swasta Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran teknologi Itali bagi membantu memudahkan ekonomi digital Malaysia sendiri, yang diunjurkan berkembang sebanyak 21 peratus antara 2020 dan 2025, mencapai anggaran nilai barangan kasar US$30 bilion menjelang 2025.

Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto berkata Itali kekal komited untuk menjadi rakan perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Beliau berkata walaupun pandemik COVID-19, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam tempoh tujuh bulan pertama 2020 kekal pada paras yang sama semasa 2019.

Tambahnya, syarikat Itali di Malaysia kini beroperasi dalam sektor seperti minyak dan gas, pertahanan serta aeroangkasa, pembinaan, automotif dan bahan kimia.

-- BERNAMA