Ringkasan AI
- Malaysia berjaya mengekalkan validasi WHO bagi eliminasi penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak untuk tempoh 2021 hingga 2024.
- Liputan saringan HIV dan sifilis dalam kalangan ibu hamil melebihi 95 peratus, manakala rawatan antiretroviral mencapai kira-kira 99 peratus.
- Kadar penularan HIV daripada ibu kepada bayi kekal rendah pada 1.52 peratus, dan sifilis kongenital 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.
PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mengekalkan validasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi eliminasi penularan jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak, berdasarkan penilaian pencapaian negara bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pencapaian itu meneruskan pengiktirafan yang diperoleh pada 2018, apabila Malaysia menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO mencapai validasi berkenaan.
"Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kesihatan ibu dan anak serta memastikan akses kepada perkhidmatan saringan, rawatan, dan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
"Pengekalan validasi ini mencerminkan keberkesanan Program Pencegahan Jangkitan HIV dan Sifilis daripada Ibu kepada Anak (PMTCT) yang diintegrasikan dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak di Malaysia sejak 1997," menurut kenyataan KKM, hari ini.
Kementerian itu memaklumkan sijil dan penghargaan atas kejayaan itu diterima oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Serantau WHO ke-77 bagi Pasifik Barat di Manila, Filipina hari ini.
Menurut KKM, sepanjang tempoh penilaian, liputan saringan HIV dan sifilis dalam kalangan ibu hamil kekal melebihi 95 peratus, manakala liputan rawatan antiretroviral bagi ibu hamil yang hidup dengan HIV mencapai kira-kira 99 peratus.
Kenyataan itu menyebut pada 2024, kadar penularan HIV daripada ibu kepada bayi kekal rendah pada 1.52 peratus, sekali gus memenuhi sasaran WHO, iaitu kurang daripada dua peratus.
KKM memaklumkan pada masa yang sama, kadar sifilis kongenital, iaitu jangkitan sifilis dalam kalangan bayi akibat penularan daripada ibu, mencatat 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, jauh di bawah ambang eliminasi WHO sebanyak 50 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.
"Kejayaan ini merupakan hasil komitmen berterusan anggota kesihatan pada semua peringkat serta kerjasama agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, Majlis AIDS Malaysia, pertubuhan masyarakat sivil, dan komuniti.
"KKM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian ini, serta WHO atas sokongan teknikal dan kerjasama yang diberikan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan memaklumkan bahawa KKM akan terus memperkukuh pengesanan awal, rawatan dan susulan bagi ibu serta bayi untuk memastikan pencapaian berkenaan dapat dikekalkan.
Sehubungan dengan itu, KKM menyarankan ibu hamil untuk mendapatkan penjagaan antenatal seawal mungkin serta melengkapkan saringan dan rawatan yang disyorkan bagi melindungi kesihatan diri dan anak.
-- BERNAMA