KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus komited dalam memastikan dasar memelihara kekayaan biodiversiti negara serta pembangunan adalah mesra alam, demi manfaat generasi akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan yakin impak  penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai sebelum ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan.

Katanya, ia merangkumi  kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuklah rumah pintar hijau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga bersih dan banyak lagi penyelesaian masa depan.

"Dedikasi yang tinggi dan kerjasama erat melalui pendekatan Whole-of-Government telah menjadikan Pavilion Malaysia satu platform yang berkesan bagi perkongsian idea serta berjaya mengetengahkan potensi negara untuk menerajui agenda kelestarian global.

"Pavilion Malaysia menjadi lambang kejayaan Keluarga Malaysia apabila nilainya diterjemahkan kepada pelan tindakan yang kukuh serta sikap bersatu-padu dalam mencapai keharmonian, kemajuan, kemampanan dan kestabilan," katanya pada ucaptama sempena Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sini malam ini.

Selain itu jelas beliau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang akan menerajui penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, mampu mengangkat Malaysia untuk mencapai satu lagi kejayaan yang membanggakan Keluarga Malaysia.

Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai telah membuka peluang kepada 426 buah syarikat tempatan termasuk syarikat pemula, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengembangkan sayap perniagaan mereka ketika dunia sedang berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Sasaran yang ditetapkan kerajaan pada ekspo tersebut adalah untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion pulangan perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan penyertaan ke ekspo itu.

Bagaimanapun jelas Perdana Menteri, Malaysia berjaya melepasi sasaran itu sebanyak tujuh kali ganda dengan potensi perdagangan dan pelaburan keseluruhannya berjumlah RM77.25 bilion.

Katanya sebanyak 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan bagi memaksimumkan peluang perdagangan dan perniagaan pada ekspo yang berlangsung selama enam bulan itu.

Pavilion Malaysia katanya, juga berjaya mengadakan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya.

Secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia telah menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa.