SHAH ALAM: Kementerian Digital hari ini melancarkan Akademi Digital Korea-ASEAN (KADA), satu inisiatif bersama dengan Korea Selatan bagi membangunkan profesional industri kecerdasan buasan (AI) dan digital di Malaysia.
Program yang diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), akan menyediakan latihan kepakaran dalam AI serta teknologi digital baharu menerusi empat kohort pada 2026 hingga 2027 dengan sasaran melahirkan kira-kira 200 profesional AI dan digital Malaysia bagi tempoh berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, MDEC memaklumkan peserta program akan menjalani latihan khusus dalam AI dan teknologi digital baharu, turut dilengkapkan dengan kemahiran praktikal, perspektif global serta kecekapan industri dalam memenuhi keperluan ekonomi digital yang sentiasa berkembang.
“Selain pembangunan bakat, KADA juga dapat memperkukuh kerjasama antara Malaysia, Korea Selatan dan negara-negara anggota ASEAN dengan menggalakkan pertukaran pengetahuan serta memajukan pembangunan keupayaan AI di seluruh rantau ini,” menurut MDEC.
Majlis pelancaran program itu telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil; Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae; Naib Presiden Eksekutif National IT Industry Promotion Agency (NIPA) Korea Selatan Kim Deuk-jung; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Yamin Yasin serta Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Profesor Madya Dr Norjansalika Janom.
Malaysia dipilih sebagai antara negara peserta KADA selepas program itu diluluskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-6 yang berlangsung pada Januari lepas.
Pemilihan itu turut mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap ekosistem digital negara, keupayaan institusi serta komitmen Malaysia dalam melahirkan bakat digital yang sedia menghadapi cabaran masa depan.
MDEC melaksanakan program ini dengan kerjasama rakan strategik daripada sektor kerajaan, akademik dan industri.
Selain itu, UiTM menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik, dipilih sebagai institusi tuan rumah bagi Malaysia selepas melalui proses penilaian yang melibatkan beberapa institusi teknologi digital premier.
Menurut MDEC, program berkenaan akan dikendalikan oleh ABLEARN yang dilantik oleh NIPA dengan kerjasama Garranto Academy sebagai rakan operasi tempatan.
-- BERNAMA