MALAYSIA
Malaysia kutuk sekeras-sekerasnya usul Israel untuk mengilhakkan Tebing Barat

Kementerian Luar Malaysia berkata keputusan rejim pada 23 Julai itu juga merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-sekerasnya keputusan rejim Zionis Israel melalui Knesset (Parlimen) untuk mengilhakkan Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada wilayah Israel, dan menyifatkannya sebagai tindakan provokatif dan manifestasi jelas yang terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin.
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam keras keputusan Israel mengilhakkan Tebing Barat kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin.
- Malaysia menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa menolak tindakan itu dan menghentikan pencabulan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
- Malaysia kekal menyokong penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
"Keputusan ini merupakan satu lagi tindakan provokatif dan manifestasi jelas sikap rejim Zionis yang secara terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin termasuklah hak untuk menentukan nasib sendiri, hak untuk kembali ke tanah air mereka serta hak untuk menentang pendudukan, sepertimana yang dijamin oleh Piagam PBB," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Kementerian itu berkata tindakan agresif rejim Zionis semakin berterusan disebabkan tiada hukuman yang dikenakan ke atas perbuatan jenayahnya di OPT selama beberapa dekad.
Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak sekeras-kerasnya usul itu dan mengambil langkah konkrit bagi menghentikan pencabulan sistematik Israel terhadap undang-undang antarabangsa, menurut kenyataan itu.
"Sekiranya dibiarkan berlarutan, masyarakat antarabangsa juga akan turut dipertanggungjawabkan dalam jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin," menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menegaskan semula solidariti teguh Malaysia terhadap rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri. Malaysia kekal teguh menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta keahlian penuh Palestin dalam PBB.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami