Malaysia lancar Visi 2030, perkukuh pemuliharaan marin negara

Adnan berkata, pelancaran Visi 2030 menandakan komitmen baharu negara terhadap pengurusan lautan yang berasaskan sains, kerjasama rentas sektor dan kelestarian jangka panjang. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke era baharu pemuliharaan laut dengan melancarkan Visi 2030 bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan berasaskan sains terhadap sumber marin, termasuk memperluas kawasan perlindungan dan pemuliharaan marin.
Pelancaran berkenaan merupakan pencapaian utama sempena Forum Kebangsaan Memperkukuh Tadbir Urus, Kapasiti dan Pembiayaan Pemuliharaan Marin, hasil kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia).
DOF dan WWF-Malaysia dalam kenyataan bersama memaklumkan inisiatif itu menyokong usaha global mencapai sasaran "30x30", iaitu melindungi 30 peratus habitat daratan dan marin menjelang 2030.
"Sasaran ini bukan sahaja penting untuk menjamin kelangsungan biodiversiti, malah memastikan manfaat ekosistem seperti keselamatan makanan, perlindungan pesisir pantai dan penyerapan karbon dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar," menurut kenyataan itu.
Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, pelancaran Visi 2030 menandakan komitmen baharu negara terhadap pengurusan lautan yang berasaskan sains, kerjasama rentas sektor dan kelestarian jangka panjang.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 84 Kawasan Perlindungan Marin (MPA) telah diwartakan meliputi 29,844.08 kilometer persegi atau 5.54 peratus daripada perairan negara.
"Melalui inisiatif seperti forum ini, usaha kita bukan sahaja menumpu kepada sasaran global '30x30', tetapi juga memberi manfaat nyata kepada komuniti pesisir, memperkukuh keselamatan makanan dan menyokong ekonomi biru negara," katanya.
Forum itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Taman-Taman Sabah, Perbadanan Perhutanan Sarawak, Majlis Pengurusan Taman Negeri, Coral Triangle Centre, institusi akademik, komuniti pesisir serta pelabur yang memfokuskan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Bersempena forum itu, WWF-Malaysia bersama TRAFFIC Asia Tenggara turut melancarkan laporan bertajuk "From Sea to Screen: Perdagangan Dalam Talian Ikan Yu dan Pari di Malaysia", yang disokong oleh DOF.
Kajian itu mendedahkan sekurang-kurangnya 5.25 juta kilogram produk ikan yu dan pari diniagakan secara dalam talian dari Oktober hingga Disember 2022, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh dasar kebolehkesanan serta memperluas perlindungan kepada spesies marin terancam di bawah Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


