PUTRAJAYA: Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM kini dilarang daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa serta-merta.

Jelas beliau lagi, sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia. 

“Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Dengan kedua-dua sekatan tersebut berkuatkuasa serta-merta, Anwar berkata, Malaysia yakin keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.