Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi, kata pengerusi eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) Datuk Dr Mustaffa Embong.

Beliau berkata kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 ke atas menghidapi penyakit diabetes dan statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes.

"Kebanyakan diabetes Jenis 2 langsung tidak meunjukkan sebarang gejala, sehinggalah anda terkena serangan jantung, strok, buah pinggang bermasalah, menjadi buta dan terpaksa dilakukan amputasi," katanya.

Beliau memberitahu Bernama ketika ditemui pada Persidangan dan Perbincangan Agung Komplikasi Diabetes ke-10 (DCOM 2018) di sini pada Selasa.

Justeru, kata Dr Mustaffa, diabetes merupakan satu daripada masalah kesihatan yang kenali sebagai pembunuh senyap atau 'silent killer'.

"Justru, pada persidangan ini, pelbagai topik berkaitan aspek perubatan dan rawatan baharu untuk mereka yang menghidap diabetes akan dikemukakan bagi menangani masalah itu," katanya.

Sebanyak 11 pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Eropah dan Asia akan membentangkan topik masing-masing pada persidangan dua hari itu yang dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pengamal perubatan. -- Bernama