NATIONAL
Malaysia menang bidaan jadi negara tuan rumah Sekretariat AFPPD

Malaysia komited untuk mempromosikan pembangunan mampan, kesaksamaan jantina, dan hak kesihatan di Asia dan Pasifik, dengan pejabat Sekretariat AFPPD dipindahkan dari Jepun ke Kuala Lumpur. - Gambar/ FB Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah bagi Sekretariat Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam peranan kepimpinan negara memajukan isu-isu penduduk dan pembangunan di rantau ini.
Ringkasan AI
- Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah bagi Sekretariat Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD), menandakan pencapaian penting dalam peranan kepimpinan negara.
- Malaysia komited untuk mempromosikan pembangunan mampan, kesaksamaan jantina, dan hak kesihatan di Asia dan Pasifik, dengan pejabat Sekretariat AFPPD dipindahkan dari Jepun ke Kuala Lumpur.
- Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, dilantik sebagai Setiausaha Agung AFPPD, dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita.
Sementara itu, Nanta menerusi catatan di Facebooknya menyatakan penghargaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan oleh rakan-rakan serantau.
"Menjadi tuan rumah kepada Sekretariat AFPPD adalah pengiktirafan terhadap peranan proaktif Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu kritikal seperti pemerkasaan belia, kesaksamaan jantina, penuaan penduduk dan kesihatan reproduktif.
"Kami komited untuk memastikan sekretariat ini berfungsi sebagai platform yang dinamik dan inklusif untuk menggalakkan dialog, kerjasama dan tindakan yang memberi impak di seluruh rantau ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, pejabat Sekretariat AFPPD akan dipindahkan dari Jepun ke Kuala Lumpur, sekali gus berperanan menyokong Ahli Parlimen dalam menangani cabaran berkaitan penduduk dan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sekretariat ini akan menyelaraskan program, penyelidikan dan pembangunan kapasiti bagi melengkapkan penggubal undang-undang dengan pengetahuan dan alat dasar yang diperlukan.
Malaysia turut diberikan keistimewaan meneraju jawatan Setiausaha Agung AFPPD, dengan Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee sebulat suara dicalonkan untuk menggalas peranan kepimpinan berkenaan.
Selain Setiausaha Agung dari Malaysia, barisan kepimpinan turut merangkumi seorang pengerusi dari Jepun dan lima naib pengerusi masing-masing dari New Zealand, Kemboja, China, India dan Kyrgyzstan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita untuk tempoh empat tahun.
Pencapaian ini menyerlahkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam diplomasi Parlimen antarabangsa dan komitmen terhadap sebuah Asia-Pasifik yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan. Malaysia juga berharap akan bekerjasama dengan semua negara anggota AFPPD dalam memajukan Program Tindakan ICPD dan Matlamat Pembangunan Mampan.
AFPPD, yang ditubuhkan pada 1981 adalah rangkaian luas 30 Jawatankuasa Kebangsaan yang terdiri daripada Ahli Parlimen, yang berfokus kepada mempromosikan penglibatan Parlimen dalam menangani isu-isu penduduk di rantau Asia dan Pasifik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami