PUTRAJAYA: Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyertai Alliance 8.7 sebagai negara Pathfinder dalam usaha bersama menangani isu aktiviti buruh paksa, perhambaan moden dan pemerdagangan manusia.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 November 2021 telah bersetuju agar Malaysia menyertai Alliance 8.7 sebagai negara Pathfinder di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Malaysia telah pun mengemukakan surat kepada sekretariat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 31 Mac 2022 berhubung hasrat negara untuk menjadi negara Pathfinder," menurut KSM.

Alliance 8.7 ditubuhkan bagi meningkatkan usaha untuk mencapai Target 8.7 di bawah SDG melalui pengiktirafan sebagai negara Pathfinder.

Target 8.7 bertujuan untuk memastikan semua negara mengambil tindakan dan langkah segera dalam menghapuskan buruh paksa, buruh kanak-kanak, perhambaan moden dan pemerdagangan manusia.

KSM memaklumkan penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder akan membuktikan komitmen dan kesungguhan negara untuk mencapai Target 8.7 SDG dan menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di ASEAN selepas Vietnam.

Langkah menjadi negara Pathfinder adalah seiring dengan matlamat Pelan Tindakan Nasional Berhubung Isu Buruh Paksa (2021-2025) (NAPFL) dan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP).

"Penyertaan Malaysia dalam Alliance 8.7 juga akan memberi impak positif kepada kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP Report) serta platform-platform hak asasi manusia yang lain," katanya.

Menurut KSM lagi, Malaysia akan bekerjasama dengan PBB dan ILO melalui pelaksanaan program-program kesedaran, peningkatan kapasiti serta perkongsian amalan baik dari negara-negara Pathfinder yang lain.

Sehubungan itu, KSM menjemput organisasi awam dan swasta, kesatuan pekerja dan majikan, pertubuhan masyarakat madani (CSO), institusi akademik serta lain-lain pemegang taruh untuk menyatakan hasrat bagi menyertai Alliance 8.7 di Malaysia.

Penyertaan boleh dibuat melalui laman web rasmi kementerian di https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/ selewat-lewatnya pada 20 Okt 2022.

"Organisasi yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai Alliance 8.7 di Malaysia akan terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Alliance 8.7 berdasarkan teras utama NAPFL dan NAPTIP," katanya.

Menurut KSM, satu bengkel perancangan strategik bagi membangunkan pelan hala tuju Alliance (Alliance 8.7 Roadmap) dijangka diadakan bulan depan.

-- BERNAMA