Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014, naik tiga anak tangga ke kedudukan 50 daripada 175 negara.

Tahun lalu, Malaysia mencatat kedudukan ke-53 dalam indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu.

Berdasarkan ukuran skor pula, Malaysia mencatat skor 52 berbanding 50 pada tahun lalu. Ia merupakan yang tertinggi pernah dicatat Malaysia sejak 2004.

Selain itu, Malaysia juga merupakan negara kedua tahap rasuah paling rendah di belakang Singapura yang berada pada kedudukan ke-7.

Mengikut skor, 0 menandakan tahap rasuah paling tinggi, manakala 100 pula adalah paling bebas rasuah.

Survei yang dijalankan TI ini menilai tahap penerimaan rasuah di sektor awam dalam kalangan 175 negara.

Sementara itu, Transparency International Malaysia menyambut baik usaha kerajaan dalam memerangi rasuah.