Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkukuh kerjasama ASEAN dan UNHCR tangani krisis Rohingya

81743054940_Rohingyarefugees.jpg
Malaysia secara konsisten menggunakan platform ASEAN untuk menggesa penyelesaian aman di Myanmar, di samping menyokong usaha kemanusiaan melalui kerjasama dengan UNHCR. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan anggota ASEAN dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam menangani krisis pelarian Rohingya melalui pendekatan yang lebih strategik dan komprehensif.

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia secara konsisten menggunakan platform ASEAN untuk menggesa penyelesaian aman di Myanmar, di samping menyokong usaha kemanusiaan melalui kerjasama dengan UNHCR dalam aspek perlindungan dan bantuan kepada pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap prinsip keselamatan serantau dan tanggungjawab kemanusiaan memandangkan krisis pelarian serta pemohon suaka, termasuk etnik Rohingya memberi kesan rentas sempadan seperti migrasi tidak teratur, pemerdagangan orang dan cabaran keselamatan.

“Bagaimanapun, keberkesanan kerjasama itu dalam mencapai penyelesaian jangka panjang masih terhad kerana ASEAN berdepan kekangan akibat prinsip tidak campur tangan dan amalan membuat keputusan secara konsensus, sekali gus mengehadkan tindakan kolektif yang lebih tegas terhadap Myanmar.

“Pada masa sama, UNHCR hanya mempunyai mandat menyediakan perlindungan dan bantuan kepada pelarian tanpa kuasa menangani punca politik yang mencetuskan krisis itu. Keadaan ini menyebabkan usaha yang dilaksanakan lebih tertumpu kepada aspek perlindungan hak asasi dan bantuan kemanusiaan berbanding penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Lukanisman menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai kerjasama Malaysia dengan ASEAN dan UNHCR dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis berkenaan.

Lukanisman ketika mengulas lanjut mengenai langkah masa hadapan berkata Malaysia bersedia mempertimbangkan beberapa strategi serantau termasuk memperkasakan mekanisme perkongsian tanggungjawab dalam kalangan negara anggota ASEAN serta menggalakkan penyelesaian politik yang membolehkan kepulangan pelarian Rohingya secara sukarela, selamat dan bermaruah. 

“Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan kestabilan serantau, malah mencerminkan peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keamanan, keselamatan dan prinsip kemanusiaan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement