KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia komited untuk terus mempergiat usaha promosi pelancongan di Arab Saudi menerusi pengukuhan kerjasama strategik dengan pemain industri negara itu, susulan kesan krisis geopolitik semasa di Asia Barat.
Pengarah Tourism Malaysia Jeddah Zaidi Kassim berkata, langkah itu antara yang diberi penekanan pada program jaringan industri kedua Tourism Malaysia di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, sekali gus menjadi platform penting dalam memperluas kehadiran Malaysia di pasaran berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).
Beliau berkata Arab Saudi kekal sebagai pasaran penting bagi sektor pelancongan Malaysia, khususnya melibatkan segmen pelancong berbelanja tinggi dan berorientasikan keluarga, yang terus menyumbang kepada jumlah ketibaan pelancong yang memberangsangkan.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Malaysia merekodkan ketibaan 17,302 pelancong dari Arab Saudi. Angka ini mencerminkan kepentingan Arab Saudi sebagai antara pasaran jarak jauh utama yang mempunyai potensi kukuh untuk terus berkembang dalam jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan Tourism Malaysia pada Jumaat.
Program itu yang menyusuli kejayaan sesi libat urus industri di Jeddah pada Julai lepas turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman serta lebih 80 rakan strategik daripada industri pelancongan dan organisasi media di Riyadh, termasuk Gulf Air, Saudia dan Almosafer.
Zaidi berkata rangkaian penerbangan terus yang disediakan syarikat penerbangan utama, hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi serta peningkatan minat terhadap perjalanan antarabangsa menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan industri pelancongan kedua-dua negara pada masa hadapan.
Beliau berkata Tourism Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan strategik di Arab Saudi bagi meningkatkan kesedaran terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan, memperkukuh penjenamaan negara, memperluas kerjasama industri serta menarik lebih ramai rakyat negara itu memilih Malaysia bagi tujuan percutian dan urusan perniagaan.
“Sebagai antara destinasi mesra Muslim terkemuka dunia, Malaysia menawarkan pengalaman percutian yang selamat dan selesa kepada pelancong dari rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), disokong kemudahan halal yang meluas, warisan Islam, pakej percutian berbaloi, pusat beli-belah mewah serta pelbagai tarikan ekopelancongan,” katanya.
Zaidi berkata Tourism Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa dan pemain industri pelancongan bagi meningkatkan kesalinghubungan global serta meneroka segmen pasaran baharu.
Beliau turut menggesa pemain industri pelancongan dan syarikat penerbangan di Arab Saudi memanfaatkan platform jaringan berkenaan untuk mempererat hubungan komersial serta meneroka peluang perniagaan baharu.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan Tourism Malaysia Jeddah bersedia memainkan peranan dalam memacu dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan antara Malaysia dan Arab Saudi.
-- BERNAMA