KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT), menambah baik tadbir urus dan memastikan kesinambungan dasar bagi menterjemahkan komitmen negara terhadap iklim dan kelestarian kepada hasil yang nyata, kata bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata, Malaysia telah memiliki sistem perundangan, dasar dan kajian yang diperlukan untuk menangani cabaran seperti banjir kilat, jerebu dan gelombang haba namun keberkesanannya bergantung pada pelaksanaannya di peringkat lapangan.
Maimunah yang juga bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata, pelaksanaan yang berkesan memerlukan kepimpinan kukuh di setiap peringkat, kepakaran teknikal dan pembiayaan mencukupi, selain tadbir urus yang telus serta berakauntabiliti.
“Kepimpinan bukan hanya di peringkat tertinggi, malah semua peringkat. Hal ini, merangkumi kepimpinan di peringkat global, nasional, masyarakat dan individu, di samping tingkah laku serta komitmen untuk bertindak,” katanya dalam temu bual radio di Konti Mini Bernama bersempena dengan Persidangan Global Tipping Points (GTP) 2026, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, usaha institusi juga perlu disokong oleh tindakan setiap individu, antaranya memastikan longkang sentiasa bersih dan tidak dipenuhi sampah bagi mencegah banjir.
Bagaimanapun, Maimunah berkata, perubahan tingkah laku semata-mata tidak memadai tanpa kemahuan politik dan komitmen berterusan pemimpin untuk melaksanakan dasar serta menyediakan sumber dan kuasa diperlukan kepada PBT untuk mengambil tindakan.
Beliau berkata, pengukuhan dalam kalangan PBT amat penting memandangkan pihak berkenaan bertanggungjawab menterjemahkan dasar di peringkat nasional dan global kepada tindakan di peringkat komuniti.
“Kita mempunyai kajian namun adakah kita memiliki keupayaan di peringkat PBT? Adakah kita memiliki perancang, jurutera dan ahli ekonomi yang mencukupi untuk melaksanakan perkara yang telah diputuskan di peringkat global atau nasional?” katanya.
Maimunah berkata, Malaysia perlu mengamalkan pendekatan pembangunan bandar yang lebih lestari dan untuk jangka panjang, dengan memastikan pelaburan dalam infrastruktur fizikal perlu disertai usaha meningkatkan keupayaan pihak yang bertanggungjawab menguruskannya.
“Kita mempunyai pelan jangka pendek, sederhana dan panjang namun apa yang kurang ialah pendekatan lestari. Kita membina banyak infrastruktur tetapi kurang memberi penekanan kepada usaha mengukuhkan keupayaan mereka yang bertanggungjawab menguruskannya.
“Kita melaburkan berbilion ringgit untuk infrastruktur bandar namun kita juga perlu membuat pelaburan dalam meningkatkan keupayaan mereka yang mengurus bandar,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan kewangan semata-mata juga tidak mencukupi sekiranya PBT tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus sumber yang ada dan menyalurkannya secara berkesan kepada golongan sasaran.
Maimunah berkata, tadbir urus yang baik perlu menjadi teras usaha kelestarian kerana dasar yang dirangka dengan baik sekalipun tidak akan mencapai matlamat tanpa pelaksanaan yang telus dan teratur.
Berdasarkan pengalamannya melawat 79 negara dan terlibat dalam projek membabitkan 1,600 bandar, Maimunah berkata, Malaysia berada di landasan yang tepat namun perlu terus menjadikan negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China sebagai penanda aras dalam pembangunan bandar.
-- BERNAMA