KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menambah baik status sebagai destinasi mesra Muslim dengan memastikan konsep itu bukan sekadar label, sebaliknya diterapkan secara serius dalam keseluruhan pengalaman pelancong.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Seri Mohd Khalid Harun berkata, penambahbaikan perlu meliputi aspek makanan halal, kemudahan ibadah, pengangkutan, keselamatan serta perkhidmatan hotel.
“Kalau kita ini negara Islam, kita tak perlu kata kita mesra Muslim. Apa kita perlu buat, kita mesti garap, kita pertingkatkan usaha ke arah penekanan nilai dan kandungan Islamik," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026, di sini, pada Jumaat.
Menurut Khalid, pengalaman pelancong Muslim ke Malaysia perlu bermula sebaik sahaja mereka menaiki pesawat, termasuk penyediaan hidangan halal dalam penerbangan.
Kemudian, apabila tiba di Malaysia, pelancong juga seharusnya menerima layanan yang mencerminkan budaya dan nilai tempatan, termasuk aspek keramahan.
“Dia (pelancong) mendarat di lapangan terbang, apabila tiba ke pintu masuk negara kita, sambutan itu mestilah secara Islamik. Orang datang, macam mana kita nak sambut dia?
"Kita bagi salam, jadi Assalamuailaikum, iaitu sejahtera ke atas kamu,” katanya.
Khalid turut menekankan peranan pemandu teksi dan e-hailing sebagai antara pihak pertama atau 'duta' yang berinteraksi dengan pelancong selepas mereka tiba di Malaysia.
“Jadi, mereka (pemandu e-hailing) ini sewajarnya mempunyai budaya untuk menyampaikan perkara-perkara yang baik,” ujarnya.
Katanya, isu penipuan seperti manipulasi harga terhadap pelancong, antaranya oleh pengusaha pengangkutan awam, perlu dielakkan bagi membina keyakinan pelawat terhadap Malaysia.
“Satu lagi keselamatan bagasi pelancong di lapangan terbang, jangan ada yang hilang, itu penting juga,” katanya.
Tegas Khalid, aspek keselamatan adalah sebahagian ciri destinasi mesra Muslim, termasuk memastikan pelancong tidak berasa terancam untuk bersiar-siar di bandar, terutama pada waktu malam.
“Berani tak dia (pelancong) keluar seorang diri? Kalau dia berani, maknanya negara Islam seperti Malaysia tidak ada penyangak atau kutu-kutu, kita mahu tengok cantik. Itulah yang mesti ditekankan,” jelasnya.
Dalam aspek penginapan pula, Khalid berpandangan industri hotel perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar 'mesra Muslim', misalnya memastikan ia patuh syariah.
"Pertama, apabila hendak check-in, ada akad yang menyatakan saya tidak akan melakukan perkara mungkar ketika menginap di hotel ini," katanya.
Beliau turut menyentuh keperluan menyediakan kemudahan mencukupi di dalam bilik air untuk pelancong Muslim, khususnya bagi tujuan bersuci dan mengambil wuduk.
“Apabila nak ambil wuduk, susah, risau tergelincir. Bila nak guna sabun, sabun itu was-was daripada segi kandungannya. Ini perlu kita ambil kira untuk pelancong Muslim,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kawalan lebih jelas terhadap makanan bukan halal di kawasan restoran hotel untuk pelancong Muslim.
"Contoh pengalaman saya bercuti ke Beijing, duduk di hotel mesra Muslim, di dalamnya ada restoran halal.
"Di depan restoran itu, tertera papan tanda yang menyatakan makanan tidak halal dilarang dibawa masuk. Ini contoh yang kita di Malaysia boleh lihat dan perbaiki.
“Oleh itu, apabila kita kata Muslim friendly, pastikan negara kita ini sudah melakukan yang terbaik. Kalau belum lagi terbaik, mesti ditambah baik.
"Kerana realitinya, perhatikan senarai negara yang mempraktikkan protokol Islamik, jawapannya negara bukan Islam terletak di atas... kalangan negara Islam, Arab atau Malaysia pula di bawah. Marilah cuba kita gapai nombor satu itu,” tegasnya.