BANDAR SERI BEGAWAN: Pengeluaran gas pertama daripada pembangunan Kluster Kelidang di perairan Brunei Darussalam dijangka bermula pada separuh pertama 2029, selepas semua perjanjian berkaitan kerjasama Petronas Carigali di negara itu dimuktamadkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua perjanjian berkaitan projek berkenaan telah ditandatangani, sekali gus membuka laluan kepada fasa pembangunan dan pengeluaran gas.
“Berkenaan dengan Petronas Carigali di perairan Brunei, semua sudah selesai, telah ditandatangani dan pengeluaran gas pertama dikeluarkan dijangka pada awal tahun 2029,” katanya kepada media Malaysia di Bandar Seri Begawan pada Jumaat.
Projek Kluster Kelidang merupakan pembangunan gas ultra-laut dalam pertama Brunei dan antara projek strategik Petronas bagi meningkatkan bekalan gas jangka panjang negara itu.
Kluster Kelidang terletak di luar pesisir Brunei dan membabitkan pembangunan beberapa lapangan gas, dengan gas yang dihasilkan akan disalur bagi menyokong bekalan kepada sektor gas asli cecair (LNG) Brunei.
Tambah Mohamad, kerjasama itu mencerminkan hubungan ekonomi dan tenaga yang semakin kukuh antara Malaysia dan Brunei Darussalam, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Beliau turut berharap hasil daripada eksplorasi dan pembangunan berkenaan dapat mula dikeluarkan pada 2029, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kita berharap supaya hasil eksplorasi ini akan dapat dikeluarkan pada tahun 2029, Insya-Allah,” katanya.
Perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pertukaran Surat (Exchange of Letters) antara Malaysia dan Brunei Darussalam, yang turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.