KUALA LUMPUR: Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila bakal ditayangkan di pawagam seluruh Korea Selatan bermula 2 September depan.
Pengarah Media MONSTA, Faiz Zainal Aabidin, berkata perkembangan itu sekali gus menjadikan Korea Selatan sebagai antara pasaran luar negara terbaharu yang menerima karya animasi Malaysia berkenaan.
Beliau berkata pihaknya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengedar dan rangkaian pawagam di Korea Selatan terhadap filem tersebut.
Menurutnya, keyakinan itu bukan sahaja membuka ruang kepada animasi Malaysia untuk menembusi pasaran yang lebih luas, malah membuktikan bahawa jalan cerita tempatan mampu menarik perhatian penonton daripada pelbagai latar budaya.
“Bagi kami, kepercayaan ini bukan sekadar peluang untuk memperkenalkan animasi Malaysia kepada khalayak yang lebih besar, tetapi juga satu pengiktirafan bahawa kisah yang kami bawakan mampu menyentuh hati penonton merentasi budaya dan sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu cukup bermakna kerana ia mencerminkan keyakinan pemain industri antarabangsa terhadap hasil karya syarikat tersebut, selain memperkenalkan nilai serta budaya Malaysia kepada penonton global.
Papa Zola The Movie juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi filem kedua terbitan MONSTA yang berjaya memasuki pawagam Korea Selatan selepas BoBoiBoy The Movie pada tahun 2016.
Mengulas lanjut, Faiz berkata watak ikonik Papa Zola kini bersedia menawan hati penonton Korea Selatan menerusi gabungan aksi, pengembaraan dan humor yang menjadi identiti filem berkenaan.
“Daripada ‘Papa’ kepada ‘Oppa’, Papa Zola kini bersedia menyapa penonton di Korea Selatan dengan aksi, pengembaraan dan komedi yang pasti menghiburkan mereka,” katanya.
Selepas Korea Selatan, Papa Zola The Movie dijadualkan meneruskan jelajah antarabangsa ke beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait pada 23 September.
Filem itu kemudian akan diperluaskan ke pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan India, mengukuhkan lagi kedudukan animasi Malaysia di pentas global.