PUTRAJAYA: Malaysia perlukan satu undang-undang khusus mengenai pemilikan benefisiari sebagai tambahan kepada peraturan sedia ada yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata sudah tiba masanya Malaysia menguatkuasakan undang-undang sedemikian, dan menambah antara inisiatif SPRM di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 ialah menggubal satu peruntukan dalam Akta SPRM 2009 untuk menangani isu benefisiari dan pemilikan benefisiari berhubung perolehan awam.

Menurutnya, sepanjang 37 tahun berkhidmat sebagai pegawai pencegahan rasuah, beliau menyaksikan bagaimana penyelewengan dan aktiviti rasuah berkembang.

Pada hari ini, penjenayah menukar modus operandi dengan beroperasi secara sindiket dan mengubah hasil haram mereka melalui syarikat berdaftar yang ditubuh menggunakan proksi dan nomini, katanya pada Program Latihan Persatuan Pihak-Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA)-SPRM 2021 secara maya pada Selasa.

Beliau turut berkongsi tentang kejayaan SPRM membongkar satu sindiket yang memperoleh pelbagai kontrak kerajaan bernilai RM3.8 bilion, menggunakan nomini bagi melindungi pemilik sebenar.

Sehubungan itu katanya, amat penting bagi agensi antirasuah mengadakan latihan dan pembangunan sumber manusia.

Ini kerana katanya siasatan tidak boleh lagi dijalankan menerusi pendekatan konvensional, selain perlu mengikuti perkembangan trend siasatan dan modus operandi terkini yang digunakan oleh penjenayah terbabit.

-- BERNAMA