Bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempromosikan Hutan Royal Belum sebagai destinasi ekopelancongan baharu Malaysia pada hari pembukaan Bursa Pelancongan Antarabangsa (ITB) di sini pada.

Hutan Hujan Royal Belum adalah destinasi ekopelancongan menarik dan baharu kepada warga Eropah bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Ia boleh dikatakan kompleks hutan yang belum terusik, dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, malah lebih tua daripada hutan hujan Amazon dan Congo.

"Hutan hujan ini mempunyai lebih 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga, termasuk bunga paling besar di dunia, Rafflesia," kata Mohamed Nazri kepada hadirin yang penuh sesak di majlis sempena penyertaan Malaysia sebagai negara rakan budaya dan konvensyen bursa itu.

Bercakap kepada Bernama kemudian, Nazri berkata Tourism Malaysia akan mempromosi Royal Belum melalui siri baharu iklan televisyen mengenai ekopelancongan di Eropah bagi melengkapi penyiaran ke seluruh dunia Eco-Malaysia, dokumentari khas National Geographic tentang Hutan Hujan Royal Belum dan ekopelancongan yang dihoskan ahli alam semula jadi British Nick Baker.

Mohamed Nazri mengetuai delegasi 125 anggota, yang terdiri daripada 59 pempamer dan peserta ITB, termasuk anggota lembaga pelancongan Malaysia, kerajaan negeri, hotel dan pengusaha pelancongan dalam misi jualan selama 12 hari yang bermula di Amsterdam, sebelum ke Paris, Milan dan akhirnya ke pameran ITB Berlin.

Malaysia, yang telah menyertai ITB sejak 40 tahun lepas, untuk julung kalinya pada tahun ini, menyertainya sebagai rakan konvensyen dan kebudayaan.

Berucap pada majlis penyertaan itu, Mohamed Nazri berkata lebih satu juta pelancong Eropah melawat Malaysia setiap tahun dan tahun ini, jumlahnya dijangka bertambah 14.1 peratus.

Menurut beliau, 28 juta pelancong dari seluruh dunia dijangka melawat Malaysia tahun ini.

Bersempena TMM 2014, Malaysia juga menawarkan 418 pakej TMM 2014 bernilai 56 juta Euro (RM183.065 juta) melalui Tourism Malaysia dan rakannya di Eropah, kata beliau.

Dalam sidang akhbar yang diadakan pada tengah hari, Mohamed Nazri berkata pelancongan menjana kira-kira RM60.6 bilion dalam bentuk hasil kepada ekonomi Malaysia dan kira-kira 28 juta pelancong dijangka melawat Malaysia tahun ini, meningkat daripada 26.8 juta pada 2013.

Sasaran jangka panjang kami ialah 36 juta pada 2020, katanya.

Mohamed Nazri berkata 10 negara teratas yang menjadi sumber pasaran pelancong ke Malaysia pada 2013 ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Australia, Jepun dan the United Kingdom.