MALAYSIA
Malaysia promosikan pendidikan tinggi di Jakarta menerusi 'MyEduTour' 2025

Inisiatif itu bertujuan menarik lebih ramai pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia.
JAKARTA: Malaysia melancarkan promosi pendidikan di Jakarta yang bertujuan menarik lebih ramai pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan antara rakyat di kedua-dua negara.
Program "MyEduTour: Discovery Malaysia 2025" anjuran Education Malaysia Indonesia (EMI), wakil rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta Tourism Malaysia Jakarta dan Kedutaan Besar Malaysia diadakan di kompleks kedutaan.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamed Hasrin Tengku Hussin berkata inisiatif itu adalah antara "soft diplomacy" atau diplomasi lunak Malaysia dengan menampilkan lima institusi pengajian tinggi awam dan lima swasta serta sebuah agensi pelancongan menawarkan pakej pelancongan berkonsepkan pendidikan.
"Semoga program ini dapat menyumbang kepada pertukaran yang lebih erat antara rakyat Malaysia dan Indonesia serta memperkukuh hubungan masyarakat," katanya, sambil menambah kira-kira 11,000 pelajar Indonesia kini sedang mengikuti pengajian di Malaysia.Program yang menggabungkan pendidikan dan pelancongan kepada masyarakat Indonesia ini, seiring usaha Malaysia untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau.
Menteri Kaunselor (Pendidikan) di kedutaan, Hasnul Faizal Hushin Amri berkata platform itu membolehkan universiti-universiti Malaysia menawarkan program akademik melalui sesi interaksi serta pakej lawatan pendidikan.
"Seminar yang diadakan memberi maklumat terperinci mengenai program yang ditawarkan, membantu para pendidik dan wakil universiti membuat pilihan terbaik untuk pelajar mereka," katanya.
MyEduTour adalah usaha berterusan untuk mengukuhkan kerjasama bidang pendidikan dan pelancongan, berasaskan hubungan budaya dan sejarah yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia, tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami