KUALA LUMPUR: Program Malaysia #QuranHour 2026 yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini membawa tema "Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera", dengan fokus kepada Surah al-Muzzammil, al-Balad dan al-Baqarah.
Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Norsyamimi Syarah Mohd Ghazni berkata ketiga-tiga surah itu memberikan panduan berkaitan pembangunan diri, pembentukan nilai serta tanggungjawab masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Surah al-Muzzammil memberi panduan pembangunan diri, manakala Surah al-Balad menerangkan hasil daripada nilai tersebut dalam membentuk golongan Ashab al-Maimanah (orang beriman).
"Dalam Surah al-Balad, manusia yang berpegang kepada nilai pembangunan diri daripada Surah al-Muzzammil akan menjadi Ashab al-Maimanah, iaitu golongan yang sentiasa mengambil jalan sukar untuk menyelesaikan konflik," katanya semasa menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pagi ini.
Malaysia #QuranHour 2026 dijadual bermula dari 12 hingga 1 tengah hari, dengan program utama diadakan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, di sini.
Norsyamimi Syarah berkata tema “bingkas” yang diketengahkan bukan sekadar bermaksud bangun, tetapi bangkit dengan bersemangat dan cepat dalam menghadapi cabaran, termasuk mengambil tindakan membantu golongan yang terbelenggu atau ditindas, anak yatim serta mereka yang berada dalam keadaan sangat memerlukan.
"Jangan sampai tunggu orang itu melarat baru kita nak tolong. Bahkan dalam Surah al-Baqarah, pada waktu hari kelaparan, kita pun bantu orang lain sedangkan kita pun kelaparan," katanya.
Beliau berkata Malaysia #QuranHour bukan sekadar program yang menghimpunkan orang ramai di satu lokasi, sebaliknya merupakan kempen kesedaran dan gerakan al-Quran yang boleh disertai masyarakat di mana-mana sahaja mereka berada, termasuk di rumah, tempat kerja atau dalam pengangkutan awam.
Program itu yang kini memasuki tahun ke-12 merupakan satu daripada empat gerakan al-Quran yang dilaksanakan dalam setahun, selain World Quran Hour, Arafah Quran Hour dan World Quran Convention, dengan masyarakat digalakkan menghayati kandungan surah yang diketengahkan untuk diterjemahkan dalam kehidupan.
-- BERNAMA