Malaysia, Rusia sedang teroka kerjasama di bawah Program Tenaga Nuklear Nasional

Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov berkata Moscow mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk membangunkan rangka kerja kebangsaan bagi tenaga nuklear. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia sedang meneroka bidang kerjasama baharu dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman ketika Putrajaya memuktamadkan Program Tenaga Nuklear Nasional.
Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov berkata Moscow mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk membangunkan rangka kerja kebangsaan bagi tenaga nuklear dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan sebaik sahaja semua kelulusan domestik yang diperlukan selesai.
"Melalui hubungan saya dengan rakan-rakan dalam pelbagai pihak berkuasa Malaysia, program itu masih dalam perbincangan, tetapi kami berharap semua keputusan yang diperlukan akan dibuat tidak lama lagi. Ini akan menjadi asas yang baik untuk kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman," katanya pada sesi taklimat media pada Rabu.
Latypov menambah Rusia bersedia memeterai semua memorandum persefahaman dan perjanjian yang diperlukan untuk memudahkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk penjanaan tenaga, pemindahan teknologi dan pembangunan kawal selia.
Beliau yang menekankan pengalaman global Rusia, berkata negara itu kini mempunyai lebih daripada 20 projek tenaga nuklear di luar negara dan bersedia membantu Malaysia dengan pelbagai pilihan, daripada loji berskala besar sehinggalah kepada reaktor modular bersaiz sederhana dan kecil.
"Pada masa yang sama, kami bersedia untuk berbincang mengenai reaktor nuklear bersaiz sederhana atau berskala kecil, terutamanya reaktor terapung," kata Latypov sambil menjelaskan Rusia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai pengalaman mengoperasikan loji nuklear terapung.
Sehubungan itu, beliau berkata Moscow telah mencadangkan perbincangan mengenai pembinaan stesen nuklear kecil terapung untuk Malaysia, dengan merujuk kepada kemudahan nuklear terapung Rusia di Kamchatka sebagai model rujukan.
"Kami terbuka untuk bekerjasama. Kami bersedia menjemput pakar-pakar Malaysia melawat stesen terapung ini, memeriksanya dan membincangkan segala kemungkinan yang ada," kata Latypov.
Model yang sedang dipertimbangkan itu akan berdasarkan kepada Rusia membina platform terapung dan Malaysia hanya membayar untuk tenaga elektrik yang dihasilkan.
Beliau berkata tenaga elektrik yang dijana melalui nuklear kekal menjimatkan kos, sambil menyatakan bahawa ia "lebih murah daripada elektrik yang dihasilkan di Malaysia pada masa ini".
Selain penjanaan tenaga, kerjasama yang berpotensi termasuk memanfaatkan kapasiti perindustrian Malaysia dalam pembinaan kapal dan pembuatan komponen untuk platform terapung, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Latypov berkata kerjasama turut diperlukan dalam pendidikan dan latihan, serta pembangunan undang-undang dan kawal selia, sambil menyifatkan langkah itu amat penting untuk mana-mana program nuklear yang mahu dibangunkan.
Menyedari sensitiviti orang ramai terhadap tenaga nuklear, beliau berkata Rusia bersedia menyokong usaha untuk melibatkan pihak berkepentingan Malaysia.
"Nuklear merupakan isu yang sensitif. Kami bersedia membantu pihak berkuasa Malaysia berinteraksi dengan pendapat umum Malaysia mengenai perkara ini," kata Latypov sambil menambah projek yang dicadangkan itu akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dan pembinaan kapasiti tempatan di kawasan-kawasan yang terlibat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


